KUALA LUMPUR- Invest Selangor Bhd mensasarkan untuk menarik 3,000 perniagaan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk inisiatif digitalisasi yang baru dilancarkan Selangor Business Hub dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Hasan Azhari Idris berkata pusat itu akan menyediakan platform rangkaian maya untuk perniagaan di negeri ini dan mengekang penguncupan ekonomi disebabkan oleh pandemik COVID-19.
“Selangor Business Hub diharapkan dapat menyediakan saluran komunikasi bagi perniagaan untuk terlibat dan menjalin hubungan dengan pihak berkepentingan, terutama dari wilayah, walaupun terdapat sekatan pergerakan kerana pandemik itu,” katanya kepada pemberita selepas majis pelancaran pusat itu di sini, hari ini.

Menurutnya, hampir 300 PKS dari 10 negara telah mendaftar dan membuka gerai maya mereka di pusat tersebut.
Exco kerajaan negeri, Datuk Teng Chang Khim berkata, inisiatif itu menunjukkan bahawa Selangor sentiasa berfikiran maju dalam memfasilitasi peralihan PKS kepada perniagaan norma baharu.
“Selangor tidak menunggu krisis berakhir, kami sentiasa berfikiran kehadapan dan memastikan rantaian nilai dapat ditingkatkan, dengan menggunakan digitalisasi sebagai satu platform terbaik pada masa kini ” katanya dalam ucapan perasmiannya.
Hab ini terdiri daripada tiga komponen utama, Komponen pertama melibatkan Program Promosi Pelaburan Invest Selangor, sebuah portal yang menganjurkan semua persidangan maya dan webinar yang dianjurkan oleh Invest Selangor dan perjumpaan maya dengan bakal rakan kongsi atau pelabur di seluruh rantau ini.

Komponen kedua, Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Virtual Selangor dalam format atas talian sebagai alternatif untuk Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Tahunan Selangor dan terdiri daripada Selangor International Expo, Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor dan Konvensyen Bandaraya dan Ekonomi Digital Selangor.
Komponen ketiga, Pusat Maklumat Teknologi dan E-dagang Selangor adalah hab maklumat dan webinar untuk program yang dijalankan oleh majlis untuk memperluas jangkauannya kepada khalayak antarabangsa.
Teng berkata inisiatif itu memberi kejayaan kepada Selangor untuk mencapai visinya sebagai negeri pintar serantau utama di ASEAN menjelang 2025.

“Kita harus menerima kenyataan bahawa pandemik ini telah menimbulkan kesan domino terhadap ekonomi ASEAN dan juga seluruh dunia.
“Walaupun begitu, kerajaan negeri akan terus membantu syarikat-syarikat di Selangor pada masa-masa ketidakpastian ini untuk memastikan kehadiran mereka di negeri ini dan mengembalikan keyakinan mereka daam perniagaan,” tambahnya.