Terkini

DUN Selangor lulus pindaan Enakmen LUAS 1999

SHAH ALAM – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) (Pindaan) 2020, untuk menambah baik peruntukan sedia ada termasuk bagi meningkatkan tindakan perundangan dan penguatkuasaan.

RUU yang bertujuan meminda beberapa seksyen dalam Enakmen LUAS 1999 itu, dibentangkan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua pada Jumaat lepas, sebelum diluluskan sebulat suara selepas dibahaskan sembilan ADUN kerajaan dan tiga ADUN pembangkang.

Amirudin berkata pindaan RUU itu adalah supaya segala usaha dan tindakan sewajarnya dapat dilaksanakan secara menyeluruh, untuk mengelakkan masalah pencemaran sungai seterusnya memelihara sumber bekalan air di negeri berkenaan.

“Daripada apa yang saya lihat, ahli-ahli yang berhormat secara sepakat memberikan sokongan penuh malah menunggu-nunggu pindaan Enakmen LUAS 1999 ini, dilaksanakan.

“Untuk meminda enakmen ini, ia harus dilihat bersama Seksyen 121 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, Seksyen 430 Kanun Keseksaan dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, supaya kita dapat memahami secara menyeluruh dan tidak melepasi batas undang-undang sedia ada,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU itu pada sidang Dewan Undangan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Enakmen LUAS 1999 yang diwartakan pada 20 Mei 1999 itu tidak pernah dipinda sejak ia dikuatkuasakan lebih 20 tahun lepas.

Antara pindaan dilakukan termasuklah memasukkan kesalahan pencemaran air disebabkan bau dan rasa sebagai kesalahan, menaikkan jumlah denda kepada minimum RM200,000 sehingga RM1 juta, menjadikan hukuman penjara sebagai mandatori, memberi kuasa kepada pengarah atau penguatkuasa untuk menyita tanpa waran, pencemar air harus membayar kepada LUAS kos pembersihan pencemaran, dan memperuntukkan kuasa kepada LUAS, bagi menawarkan ganjaran kepada pemberi maklumat.

Selain itu, pindaan tersebut juga memberi kuasa kepada LUAS mengenakan caj lebihan pengambilan air bagi mengawal pembaziran sumber air, menuntut kos ganti rugi yang ditanggung selama lembaga itu menyimpan harta benda sita, dan menambah baik prosedur arahan kepada pihak berkuasa awam supaya mengambil langkah pemeliharaan serta pemuliharaan sumber air terjejas.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: