Reviu: Nikmati ‘Splash and Brunch’ dengan hidangan lokal dan antarabangsa di Hotel Sunway Resort

Published by

on

Petaling Jaya -Berhujung minggu bersama keluarga untuk bersantai dan beraktiviti merupakan saat paling ditunggu. Pastinya, ramai yang inginkan masa berkualiti bersama yang tersayang.

Bagi mereka yang ingin menikmati masa yang menyeronokkan dengan beriadah di tepi kolam renang, maka promosi bufet yang memenuhi keperluan keluarga mungkin menjadi pilihan anda.

Promosi “Splash and Brunch” di Sunset Terrace, Hotel Sunway Resort di Bandar Sunway adalah lokasi yang ideal untuk menikmati hidangan bufet dengan pelbagai kemudahan pada hujung minggu.

Pastinya, Hotel Sunway Resort menyajikan bufet terbaik dengan gabungan makanan pelbagai pilihan lokal dan antarabangsa.

Untuk pilihan makanan laut yang segar, terdapat tiram, udang, sotong dan kerang sebagai pembuka selera manakala kaunter sushi dipenuhi susunan pelbagai jenis sushi nigiri, makimono, sashimi, jeruk dan wasabi yang berwarna-warni dan menarik perhatian.

Bufet yang menampilkan hidangan dari pelbagai negara ini turut menghidangkan kambing panggang timur tengah dengan nasi yang dikenali sebagai Lamb Ouzi. Menariknya, isi daging kambing yang dipanggang lembut itu disertakan pilihan sos dan jagung panggang membangkitkan selera para tetamu.

Hidangan lain bagi ruang ini ialah Salad Fattoush, Salad Labu dengan Quinoa, Salad Asparagus Rebus dengan Cendawan Liar dan Sos Bawang Merah bersama roti Arab dan babaganoush.

Manakala, Churrasco ialah daging panggang gaya Amerika Selatan di atas api arang dan rasa yang terhasil daripada aroma berasap juga membuatkan kita tidak sabar menjamahnya.

Pelbagai sos seperti sos HP, sawi dan lobak pedas boleh didapati sebagai sos pencicah untuk dimakan bersama daging.

Sentuhan perisa Mexico dalam hidangan salmon dan taco quesadilla menambahkan lagi variasi hidangan yang ada. Tekstur yang pelbagai dengan capsicum merah dan kuning, telur hancur dan bawang rangup sesuai untuk tetamu yang menggemari makanan Amerika Utara ini.

Bagi pencinta makanan Itali pula, tetamu boleh menikmati Gnocchi alla Sorrentina, Spaghetti Ayam Cendawan dan Bawang Putih, Fettucine Carbonara dan Penne Arrabiata serta piza seperti Margherita dan Tropical Hawaiian.

Mewakili negara Sepanyol dihidangkan paella dengan sarat makanan laut segar yang memberikan rasa yang melimpah.

Bagi peminat makanan melayu, menu nasi lemak pandan kegemaran tempatan didatangkan dengan sambal bawang, sambal ikan bilis, ayam goreng berempah serta ikan bilis, kacang tanah, telur rebus dan hirisan timun.

Jangan lupa rasa pedas dan manis sate ayam dan daging dengan kuah kacang bagi mereka yang meminatinya.

Untuk makanan India, tetamu dihidangkan rava thosai, roti naan, bhurji telur, briyani, malai kofta dan tikka ayam. Pastinya aroma kuah dal dan kari melengkapkan hidangan ini.

Terdapat juga ruang khusus untuk kanak-kanak memenuhi keinginan mereka terhadap hidangan nuget, sosej, donut dan makanan ringan. Ruang yang berwarna-warni ini mempunyai meja dan kerusi yang lebih rendah untuk membuatkan kanak-kanak berasa selesa seperti di rumah.

Chef masakan Sunset Terrace, Afiq Matkhir berkata konsep bufet itu adalah untuk menyajikan pelbagai perisa dari seluruh dunia di satu tempat.

“Hidangan ini dikumpulkan dalam zon berbeza mengikut negara asal mereka.

“Sudut makanan India disediakan oleh chef India yang pakar dalam masakan India utara,” tambahnya.

Selain bufet, keluarga juga boleh menikmati suasana meneroka pelbagai kemudahan yang disediakan, termasuk kolam renang dan Wonderland Explorers Kids’ Club.

Kemudahan itu bertujuan memberi ruang kepada keluarga untuk berehat dan berseronok.

Di Wonderland Explorers Kids’ Club, ibu bapa boleh meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak mereka dalam pelbagai aktiviti seperti mewarna, membuat sabun dan memasak.

Bagi pakej bufet, harga yang ditetapkan adalah RM208 untuk dewasa dan RM104 untuk kanak-kanak berumur enam hingga 12 tahun dan warga emas. Pakej ini disediakan setiap Sabtu dan Ahad dari tengah hari hingga 4 petang.

Kanak-kanak di bawah umur enam tahun makan secara percuma.

Bagi yang berminat, boleh menghubungi 03-7495 2009 atau WhatsApp ke 019-381 5568 untuk tempahan.

Leave a comment

Blog at WordPress.com.