Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, satu permohonan waran tangkap terhadap Jamal telah dikemukakan semalam dan dijangka diperoleh hari ini.

Beliau menegaskan bahawa polis mengikut prosedur dan berlandaskan undang-undang sedia ada berhubung kes melibatkan Jamal dan bukannya atas tekanan mana-mana pihak seperti yang didakwanya.

Setakat ini, terdapat baki enam kes melibatkan Jamal sedang disiasat selain tiga kes berdasarkan pertuduhan yang dijalankan di Hospital Ampang Puteri pada 25 Mei lepas.

“Kita akan teruskan usaha mengesan Jamal sebab semua sedia maklum bahawa beliau sedang melarikan diri yang mana sepatutnya beliau memberikan kerjasama terhadap siasatan yang dijalankan.

“Sejak Jumaat lepas, kita telah tuduh beliau sebanyak tiga kes dan berharap beliau memberi kerjasama namun beliau terus melarikan diri sehingga kini,” katanya kepada pemberita selepas membuat gimik melupuskan barang-barang kes jenayah peringkat daerah Kajang sempena Ops Dadu sepanjang 2016 hingga Mei 2018 di Balai Polis Bandar Baru Bangi.