WASHINGTON : Amerika Syarikat (AS) mengambil tindakan drastik dengan menarik diri dari Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNHRC) semalam kerana mendakwa majlis itu bias terhadap Israel.
Aktivis memberi amaran, tindakan berkenaan akan lebih menyukarkan usaha memperjuangkan aspek hak asasi manusia di peringkat global.
Berada bersama Setiausaha Negara, Mike Pompeo di Jabatan Negara, Duta AS ke PBB, Nikki Haley mengecam Russia, China, Cuba dan Mesir kerana merosakkan usaha negaranya dalam membawa pembaharuan ke atas majlis terbabit.
Beliau turut mengkritik negara lain yang berkongsi nilai serta menggalakkan Washington meneruskan usaha diambil namun pada masa sama, enggan mencabar status quo secara serius.
Pengunduran Washington adalah penolakan terkini AS terhadap perjanjian pelbagai negara selepas menarik diri dari perjanjian suhu Paris dan perjanjian nuklear Iran 2015.
Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Zeid Ra’ad al-Hussein turut menggesa Washington menangguhkan dasar tidak masuk akal itu, apatah lagi ketika negara berkenaan berdepan kecaman hebat kerana memisahkan anak-anak pelarian dari ibu bapa mereka di sempadan AS – Mexico.
“Lihat semua negara anggota dan anda akan dapat mengesan rasa tidak hormat pada perkara paling asas,” kata Haley sambil memetik Venezuela, China, Cuba dan Republik Demokratik Congo.
Beliau bagaimanapun tidak menamakan Arab Saudi yang berdepan penggantungan pada tahun 2016 kerana membunuh orang awam dalam Perang Yaman. – Reuters
