PETALING JAYA: Calon Presiden Umno, Khairy Jamaluddin berkata, masa depan Barisan Nasional (BN) perlu diberikan perhatian selepas pemilihan Umno akan datang.
Beliau berkata, Umno tidak boleh bertahan bersendirian tanpa satu platform politik yang kuat.
“Sekiranya saya dipilih sebagai Presiden (Umno), saya akan bertemu dengan parti-parti komponen untuk memahami apakah hala tuju mereka. Apa yang tinggal bagi Barisan Nasional?
“Kita tidak boleh ‘survive’ Umno sahaja, kita mesti ada platform politik berbilang kaum,” katanya pada sidang media di Menara Dato’ Onn di Kuala Lumpur, petang Rabu.
Khairy berkata, BN akan diberi tumpuan sebaik sahaja kepimpinan baharu Umno telah dimuktamadkan.
“Sama ada ia akan dipanggil Barisan Nasional atau nama baharu, kita mesti bekerjasama dengan parti-parti komponen lain,” katanya.
