MELAKA: Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, didesak melepaskan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu serta Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah, berkata desakan itu dibuat sebagai tanggungjawab yang perlu digalas Idris atas kegagalan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) 14 lalu.
Menurut beliau, desakan dibuat dalam satu usul yang dikemukakan pada Mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian Tangga Batu, disertai 31 AJK bahagian itu, malam tadi.
Abu Bakar berkata, Idris yang mempengerusikan mesyuarat bahagian itu, menamatkan mesyuarat serta merta sejurus usul dikemukakan seorang AJK, sebelum meninggalkan mesyuarat tergesa-gesa diikuti tujuh yang lain.
Tergamam dengan tindakan Idris, Abu Bakar berkata tinggal 23 AJK dalam bilik mesyuarat terbabit lalu beliau kemudian bertindak meneruskan perbincangan selepas mesyuarat ditinggalkan pengerusinya.
“Dalam perbincangan dibuat, kami melakukan undian terhadap usul dikemukakan itu dan hasilnya 19 bersetuju mendesak Idris melepaskan semua jawatan dipegang manakala dua membantah dan dua berkecuali.
“AJK bersepakat mahu beliau bertanggungjawab terhadap kekalahan pada PRU lalu, malah kita kehilangan banyak tempat parlimen dan dewan undangan negeri (DUN),” kata Abu Bakar, yang mengendalikan sidang media, di Pejabat UMNO Bahagian Tangga Batu, Klebang, di sini, lewat malam tadi.
Begitupun, Abu Bakar berkata, persetujuan dicapai terhadap usul terbabit belum boleh diputuskan sehingga mesyuarat akan datang yang dipengerusikan sendiri oleh Idris.
Mesyuarat “panas” itu menimbulkan rasa tidak puas hati kebanyakan AJK bahagian yang rata-rata menganggap Idris tidak “sporting” dengan menamat serta meninggalkan serta merta mesyuarat sejurus usul terbabit dikemuka AJK.
Sebelum ini, Idris mengumumkan untuk mempertahan jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO serta ketua bahagian pada pemilihan parti itu, hujung bulan ini.
Kedudukannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu bakal dicabar jawatankuasa bahagian itu, Datuk Seri Ali Muhammad.
Kegagalan BN diketuai UMNO pada PRU-14 lalu menyaksikan, Idris gagal mengekalkan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Melaka yang dijawat sejak 7 Mei 2013.
Pada PRU14 lalu, BN Melaka memenangi 13 daripada 28 kerusi DUN manakala Pakatan Harapan (PH) menang dengan majoriti 15 kerusi hingga berjaya membentuk kerajaan negeri.
