Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu dengan nada tegas berkata, sikap ‘yes man’ atau menurut apa sahaja kehendak terutama Presiden sebelum ini menyebabkan UMNO kecundang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

“Presiden tidak boleh jadi kebal dan hanya mendengar apa yang disukainya semata-mata.

“Malah, sikap Presiden UMNO sebelum ini yang menolak pandangan dan kritikan ahli lain sehingga bertindak memarahi, menggantung dan memecat ahli yang berbuat sedemikian menyebabkan UMNO kecundang pada PRU-14,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan dengan UMNO Perlis di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.

Pada pemilihan Presiden UMNO esok, Khairy mendapat tentangan sengit Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.