Georgetown: Buat julung kalinya, pemilihan PKR dibuat secara dalam talian menerusi “e-voting” bagi melancarkan dan mempercepatkan proses mengundi membabitkan lebih 800,000 anggota parti itu di seluruh negara.
Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, ketika ini parti sedang menjalankan ujian terhadap sistem “e-voting” itu bagi mengenal pasti sebarang masalah supaya dapat dikemas kini sebelum berlangsung pemilihan pada Ogos hingga September ini.
“Pada 2 pemilihan parti sebelum ini PKR menggunakan kertas bagi proses mengundi, kali ini ‘online’. Anggota parti hanya perlu hadir di pusat pengundian dan tunjukkan kad pengenalan bagi mengesahkan keahlian sebelum terus ke gajet yang kami sediakan untuk mengundi serta klik calon yang mereka pilih,” katanya kepada media selepas melawat Pasar Bayan Baru, Georgetown, Pulau Pinang hari ini.
Menerusi sistem “e-voting” itu juga proses pengiraan undi akan dilakukan secara automatik dalam sistem dan keputusan penuh akan diumumkan oleh jawatankuasa pemilihan PKR selepas proses mengundi selesai.
Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, parti merancang menjalankan proses pengundian mengikut zon.
Persiapan rapi sedang dijalankan supaya ia berjalan lancar kerana PKR satu-satunya parti yang memberi hak kepada setiap anggotanya memilih pemimpin parti.
“PKR menerima lebih 300,000 anggota baru mendaftar menyertai parti itu sejak 9 Mei hingga 26 Jun lalu dan sekarang ini kami mempunyai lebih 800,000 anggota parti, semua mereka akan mengundi pada pemilihan kali ini,” katanya.
