CYBERJAYA – Permohonan Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia yang dibuka mulai esok menyasarkan kepada semua pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang benar-benar memerlukan agar golongan ini mendapat manfaat sebaiknya.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata melalui pelaksanaan inisiatif tersebut tiada Keluarga Malaysia yang terpinggir dalam kemajuan teknologi dan seterusnya dapat beradaptasi dalam menghadapi kemunculan ekosistem digital pada masa hadapan.
“Kita berharap permohonan bagi mereka yang benar-benar memerlukan dan belum memiliki peranti, bukan semestinya bila B40 semua sekali memohon.
“Saya berkata demikian supaya kita mempunyai jumlah yang cukup untuk semua yang memerlukan dan daripada anggaran jumlah yang telah kita masukkan dalam perolehan kita akan melihat sekiranya ada ruang program PerantiSiswa ini boleh diperluaskan lagi kepada kelompok yang selain daripada diumumkan pada hari ini”, katanya dalam sidang media Majlis prapelancaran PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Universiti Multimedia, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Ketua Setiausaha, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Mohammad Mentek dan Ketua Setiausaha, Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar.
Inisiatif menggunakan Konsep Guna Pakai selama tempoh pengajian itu juga bertujuan untuk mengelakkan penyalahgunaan peranti seperti menjual atau memberikannya kepada orang lain.
Permohonan PerantiSiswa Keluarga Malaysia boleh dibuat menerusi laman web rasmi perantisiswa.kkmm.gov.my mulai 15 April, pukul 8.00 pagi.