KUALA LUMPUR – Penerima faedah Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) sekali lagi mencatatkan pencapaian terbaik dunia dan Malaysia dalam peperiksaan ACCA Foundation in Accountancy (ACCA FIA) dan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) baru-baru ini.

Mohamad Amirol Mohd Asri, 22, pelajar tajaan bersama Yayasan Peneraju dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) muncul sebagai ACCA Top Affiliate, menduduki tempat ke-3 di Malaysia dan ke-22 di dunia bagi peperiksaan Mac 2022. Amirol merupakan penerima faedah ke-empat tajaan Yayasan Peneraju yang dianugerahkan ACCA Malaysia Top Affiliate sejak bermulanya program pembiayaan perakaunan profesional pada 2012.
“Yayasan Peneraju, PNB, INTEC, pensyarah, keluarga dan rakan-rakan sangat menyokong perjalanan ACCA saya dan menjadi pendorong kepada kejayaan saya. Saya berasa gembira dan berbangga dengan diri sendiri kerana saya berpegang kepada kata-kata, jangan berhenti mencuba, jangan berhenti percaya dan jangan putus asa kerana hari anda akan tiba”, kata Amirol.

Penerima faedah lain yang mencatatkan pencapaian terbaik peperiksaan ACCA termasuk ‘Ain Nurkhairina Khairuddin, 22, dan Said Ramdan, 20, di mana masing-masing menduduki tempat pertama di Malaysia dan kedua di dunia bagi kertas Financial Management (FM) dan Financial Reporting (FR) dengan memperoleh 95 markah.

Sementara itu bagi peperiksaan ACCA FIA, Muhammad Iqbal Hanif Mohd Tarmizi, 19, menduduki tempat pertama di Malaysia dan di dunia bagi kertas Maintaining Financial Records (FA2) dengan memperoleh 100 markah.
Dalam inisiatif Yayasan Peneraju yang memfokuskan kepada pembinaan dan pengukuhan keupayaan bakat Bumiputera ke arah kelestarian yang lebih mampan, Yayasan Peneraju setakat ini telah melahirkan empat ACCA Malaysia Top Affiliate dan 77 Prize Winners. Ini menjadikan Yayasan Peneraju sebagai salah satu badan penaja terbesar yang melahirkan penerima anugerah, CAT, ACCA FIA dan ACCA di peringkat Malaysia dan dunia dan jumlahnya diramal akan terus meningkat dalam beberapa bulan dan tahun akan datang.
Yayasan Peneraju telah membiayai lebih 6,000 bakal akauntan profesional Bumiputera dan akan terus memberi peluang kepada lebih 10,000 individu untuk menjadi akauntan profesional menjelang 2025.
Yayasan Peneraju, sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), telah diberi mandat untuk meningkatkan kualiti, kuantiti dan kerelevanan bakat Bumiputera dalam sektor berpendapatan tinggi menerusi program-program pembiayaan akademik, pensijilan TVET, profesional, teknologi dan spesialis.
Sejak penubuhannya 10 tahun lepas, Yayasan Peneraju telah merealisasi aspirasi lebih 46,000 bakat dari seluruh Malaysia melalui lebih 370 program pembiayaan dalam pelbagai bidang dan membekalkan tenaga kerja berkualiti kepada industri berpermintaan tinggi.