Kuala Lumpur – Kementerian Pengangkutan (MOT) akan meneliti lima perkara yang dibangkitkan Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang SeMalaysia (GTSM) untuk tujuan penambahbaikan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata antara lima perkara itu termasuk isu kadar tambang dan kadar komisen yang ditetapkan syarikat pengendali e-hailing.
“Selain itu, cadangan membangunkan platform e-hailing milik GLC, teksi eksekutif dan masalah pemilikan permit eVP (Electronic Vehicle Permit),” katanya menerusi Facebook.
Ka Siong berkata, beliau sudah meminta Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Bahagian Darat MOT untuk mengkaji perkara-perkara yang dibawa oleh GTSM.
“Selain mengadakan satu sesi libaturus dengan mereka agar mana-mana perkara yang boleh dibantu dapat kita bantu dan melaksanakan langkah penambahbaikan,” katanya.
Semalam, Ka Siong mengadakan perbincangan dengan GTSM yang diketuai oleh Yang di Pertua gabungan itu, Kamarudin Mohd Hussain di pejabatnya di Putrajaya lewat petang semalam.
Sebelum ini, kerajaan menerusi syarikat berkaitan miliknya (GLC) digesa membangunkan aplikasi e-hailing yang dikuasai sepenuhnya oleh pentadbiran negara bagi menyelesaikan isu ketidaktentuan penawaran harga dihadapi penumpang dan pemandu perkhidmatan tersebut.
Ketua Aktivis Pengangkutan Darat Malaysia, Kamarudin Hussain berkata, usaha itu kemudiannya perlu diikuti dengan penyelarasan perbezaan pentakrifan dan peraturan antara dua penyedia perkhidmatan yang sama iaitu teksi dan e-hailing.