Kuala Lumpur – Polis membuka kertas siasatan berkaitan insiden kekecohan dan pertengkaran yang berlaku antara seorang jurugambar dan peguambela di lobi Mahkamah Tinggi, di Shah Alam, semalam.
Insiden yang berlaku sebelum keputusan terhadap Samirah Muzaffar dan dua anaknya berhubung tuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan itu, kini disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana gaduh gempar.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata pertengkaran tercetus antara salah seorang peguam dan jurugambar sambilan yang sedang membuat liputan perbicaraan berkenaan.
“Hasil siasatan awal polis mendapati pergaduhan ini melibatkan seorang lelaki tempatan yang bertugas sebagai jurufoto sambilan berumur 34 tahun dengan seorang peguam juga lelaki tempatan yang berumur 50 tahun.
“Kejadian berpunca apabila keadaan sesak berlaku di lobi Mahkamah Tinggi Shah Alam semasa pasukan peguam sedang menuju ke kamar mahkamah, manakala petugas media sedang membuat liputan bagi kes pembunuhan CEO Cradle Fund,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, kedua-dua individu terbabit sudah membuat laporan polis berhubung kejadian dan mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam sebagai pesakit luar.
“Jurugambar berkenaan mengalami luka calar di leher dan lengan manakala peguam terbabit luka di bahagian dahi.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan. Sebarang maklumat berkaitan kes ini, boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Muhamad Ridzuan Ibrahim di talian 013-3050856,” katanya.
Terdahulu media melaporkan jurugambar dari Utusan Malaysia itu, Zulfadhli Zaki membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam berhubung kejadian yang berlaku.
Peguam, S Suresh turut dilaporkan membuat laporan mengenai pergaduhan itu yang videonya tular di media sosial sejak semalam.