Politik

Najib tarik balik dakwaan rasuah terhadap Mohd Nazlan

Kuala Lumpur – Datuk Seri Najib Tun Razak menarik balik dakwaan rasuah terhadap Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mensabitkan serta menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas bekas Perdana Menteri itu bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Bhd.

Dalam afidavit jawapan lanjutan, Najib, 69, menarik balik dakwaan itu di Mahkamah Persekutuan Jumaat lalu menerusi Tetuan Zaid Ibrahim Suflan T H Liew & Partners.

“Untuk rekod, saya secara mutlak menarik balik sebarang tafsiran mengenai apa yang saya telah katakan yang boleh dianggap bermaksud bahawa Hakim Mohd Nazlan telah disiasat kerana kemungkinan rasuah,” katanya.

Najib berkata demikian ketika menjawab afidavit pendakwaan pada 21 Julai, yang mengatakan pengetahuan peribadi Najib mengenai siasatan SPRM ke atas Mohd Nazlan tidak semestinya benar kerana agensi penguatkuasa bebas itu tidak akan mendedahkan maklumat sulit berkaitan siasatan yang sedang dijalankan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan terdapat bukti tambahan yang akan menunjukkan konflik kepentingan yang serius membabitkan hakim tersebut dan itu adalah sebab beliau memohon agar kes itu dibicarakan semula.

Pendakwaan baru-baru ini menyatakan bahawa dakwaan Najib terhadap Mohd Nazlan, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, adalah percubaan terdesak untuk membatalkan perbicaraan kes itu.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan sebelum ini menegaskan bahawa tiada percanggahan kepentingan oleh Mohd Nazlan dan peranannya dalam Maybank adalah dalam pengetahuan umum dan maklumat yang tersedia secara terbuka sebelum perbicaraan SRC bermula, serta menggesa Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib.

Pada 20 Julai 2020, Mohd Nazlan telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas dan mendapati bekas Presiden Umno itu bersalah manakala Mahkamah Rayuan pada Disember 2021 menolak rayuan Najib.

Najib memfailkan rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan pada Disember 2021 terhadap sabitan dan hukuman denda RM210 juta dan penjara 12 tahun.

Pada 7 Jun lalu, Najib kemudian memfailkan permohonan untuk menambah keterangan yang dikatakan baharu ditemui olehnya berhubung Mohd Nazlan, dengan matlamat utama untuk membatalkan perbicaraan.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari bermula 15 Ogos ini untuk mendengar rayuan terakhir Najib berkaitan SRC.

Kes SRC dijangka dibicarakan untuk pengurusan kes di Mahkamah Persekutuan esok.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: