Kuala Lumpur – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Singapura, Lawrence Wong, di Perdana Putra, semalam.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin berkenaan menyuarakan komitmen untuk terus mengukuhkan hubungan erat Malaysia-Singapura yang sedia terjalin termasuk meneroka bidang kerjasama baharu.
Menurut Ismail Sabri, Singapura merupakan destinasi eksport kedua terbesar Malaysia dengan nilai dagangan US$29.85 bilion (RM 133.98 bilion).
“Singapura juga merupakan sumber import kedua terbesar Malaysia sebanyak US$18.45 bilion (RM82.81 bilion) dari Januari hingga Julai tahun ini.
“Pelaburan Singapura di Malaysia ialah sebanyak US$38.62 bilion (RM173.36 bilion) manakala pelaburan Malaysia di Singapura berjumlah US$25.41 bilion (RM114.06 bilion) dari Januari hingga Disember 2021,” katanya di Facebook.
Pada pertemuan hampir sejam bermula jam 5.30 petang itu, Ismail Sabri turut mengucapkan tahniah kepada Wong atas pelantikan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri Singapura sejak Jun lalu.
Kunjungan Lawrence Wong adalah lawatan sulungnya Wong ke Malaysia selepas dilantik ke jawatan berkenaan.
Dalam lawatan rasmi selama empat hari bermula kelmarin itu, pemimpin negara jiran berkenaan turut dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara.