Kuala Lumpur – Selesai sudah konsert Jelajah Ulang Tahun ke-30 dari kumpulan pemuzik terkenal Indonesia, Dewa 19 yang berlangsung di Stadium Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur selama dua hari bermula Jumaat sehingga Sabtu minggu lalu.
Meskipun dilanda hujan seawal pukul 5 petang semalam, namun ia bukanlah kekangan buat sekitar 8,000 penonton hadir khusunya beladewa dan beladewi peminat tegar Dewa 19. Satu sejarah tercatat dengan jumlah melebihi 16,000 penonton bagi dua hari terkumpl itu.
Mana tidaknya, ia buat pertama kalinya lima vokalis hebat iaitu Ahmad Dhani, Virzha, Once Mekel, Ari Lasso dan Ello ‘bersanding’ di sebuah konsert mega yang berlangsung di Malaysia.

Walaupun pada mulanya tidak berpuas hati apabila dikatakan terpaksa ‘sidai’ di bawah hujan lebat, namun ia hanyalah sementara sahaja.
Mana tidaknya mereka disajikan dengan persembahan yang ‘magik’ dan memukaukan dengan mendedangkan lebih 35 buah lagu-lagu hits seperti Larut, Pupus, Sedang Ingin Bercinta, Roman Picisan, Arjuna dan Dewi.
Meninjau di media sosial terutama TikTok, ramai berkongsi momen gembiran dan keterujaan mereka ‘layan’ semua lagu yang didendangkan oleh Dewa 19.
Sepanjang konsert yang berlangsung sekitar tiga jam, Once muncul antara vokalis yang paling mendapat sorakan dan sambutan.
“Sudah lama saya tidak menjejakkan kaki di Malaysia. Ini malam terbaik.
“Tanpa anda semua, kami bukan apa-apa. Terima kasih Malaysia,” katanya ringkas usai menyanyikan salah satu lagu popularnya bersama Dewa19, Roman Picisan.
Once atau nama sebenarnya Elfonda Mekel, 52, merupakan salah satu vokals yang berjaya meledakkan Dewa19 menerusi album Bintang Lima sekitar tahun 2000.
Sementara itu, kehebatan Ari Lasso, 49, di atas pentas tidak perlu dipertikaikan lagi kerana momentum energi dan lontaran vokalnya masih hebat seperti sebelum ini.

Menerusi konsert sama, dia menghiburkan penonton dengan rangkaian lagu antaranya ialah Elang, Kirana dan Satu Hati.
Ahmad Dhani yang bermain keyboard turut mempersembahkan lagu popularnya bersama Dewa19 antaranya Sedang Ingin Bercinta dan Hadapi Dengan Senyuman.
Memenuhi permintaan luar biasa peminat, konsert yang pada awalnya direncanakan hanya satu malam tersebut berlangsung selama dua hari, pada 9 dan 10 September di lokasi sama.
Kali terakhir Dewa 19 membuat persembahan di Malaysua ialah pada tahun 2019 di Stadium Melawati, Shah Alam tanpa kehadiran Ahmad Dhani yang ketika itu terjebak kes mahkamah sehingga berdepan hukuman penjara.