Kuala Lumpur – Pengeluar, pemborong dan peruncit daerah terpilih di seluruh negara dibenarkan menyimpan stok tambahan sebanyak 30 peratus daripada had penyimpanan yang dibenarkan, sebagai persediaan menghadapi bencana dan kecemasan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata inisiatif itu bagi memastikan bekalan keperluan harian dan makanan mencukupi ketika negara berdepan bencana banjir yang dijangka lebih sukar kali ini.

“Pemantauan rapi di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit di seluruh negara dijalankan bagi memastikan bekalan mencukupi, dan memudahkan tindakan segera sekiranya berlaku gangguan bekalan. Ini adalah persediaan awal, supaya apabila ditimpa musibah, rakyat tidak terjejas dalam mendapatkan barangan keperluan.
“Kita bukan sahaja memantau barangan kawalan tetapi juga barangan yang mendapat permintaan tinggi ketika banjir seperti mee segera, lampu, ubat, lampin pakai buang dan sebagainya,” katanya.
Rosol berkata, usaha itu akan dijalankan di seluruh negara, namun tumpuan akan diberikan kepada lokasi yang kerap berlaku banjir seperti di pantai timur dan kawasan berisiko banjir.
“Ini sebagai persediaan awal supaya masalah berkaitan pembekalan barangan tidak berlaku. Kami akan mengadakan pertemuan dengan pemain industri tidak lama lagi, untuk menyusun strategi bagi memastikan bekalan barangan keperluan mencukupi,” jelasnya lagi.
Pada 18 September lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menubuhkan jawatankuasa khas menangani musim banjir dan pelan tindakan khusus telah dirangka oleh jawatankuasa itu bagi memastikan bekalan makanan mencukupi apabila berlaku bencana.

Beliau ditemui ketika merasmikan Program ‘LOVE LOCAL’ sempena Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) di stesen minyak Petronas Kota Damansara 1, Selangor, pada hari ini.
Petronas Dagangan Berhad telah memberi komitmen tinggi dalam membantu menjayakan inisiatif KBBM ini menerusi program ‘Love Local’ yang digerakkan Petronas secara meluas. Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dilihat memberi impak positif dalam melonjakkan ekonomi usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Turut hadir bersama Ketua Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, Tuan Azman Adam, Azrul Osman Rani (Pengarah Urusan Petronas Dagangan Berhad) dan Norliana Aida Ramli,(Ketua Strategi, Petronas Dagangan Berhad).