KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Terengganu menerusi anak syarikat miliknya (GLC), MBI Modal Sdn Bhd serta rakan usahasama HeiTech Padu Berhad dan Inter Global Hydro Sdn Bhd bakal memacu pembangunan lestari di negeri Terengganu, khususnya kawasan luar bandar melalui projek pembangunan hidrokuasa kecil di Sungai La, Besut.
Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, projek berkapasiti 2.85 megawatt tenaga tersebut dilihat sebagai penyelesaian Tenaga Boleh Baharu (TBB) yang kritikal dalam menjadi solusi cabaran bekalan elektrik terutamanya di kawasan luar bandar yang terpencil.
“Projek mesra rakyat ini memanfaatkan hasil bumi Terengganu untuk masyarakat menerusi penjanaan kuasa berterusan serta penyediaan peluang pekerjaan untuk anak tempatan,” katanya ketika Majlis Kick-Off Projek Usahasama Pembangunan Hidrokuasa Kecil Sungai La, Daerah Besut di Majestic Hotel, Kuala Lumpur.
Bagi MBI Modal Sdn Bhd, projek ini merupakan langkah strategik syarikat itu di dalam industri Tenaga Boleh Baharu, pada masa yang masa menyambut baik Dasar Tenaga Boleh Baharu Kebangsaan yang menyasarkan 31 peratus kapasiti tenaga boleh baharu (Renewable Energy – RE) menjelang 2025 dan 40 peratus menjelang 2035.
MBI Modal sebagai pelabur strategik akan melaksanakan pembangunan hidrokuasa kecil tersebut bersama HeiTech Padu Berhad dan Inter Global Hydro Sdn Bhd di bawah syarikat tujuan khas iaitu Domainedge Sdn Bhd.
Sementara itu, Presiden dan Timbalan Pengerusi Eksekutif HeiTech Padu Berhad, Dato’ Sri Mohd Hilmey Mohd Taib menjelaskan, pihaknya berbesar hati atas peluang dan kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan negeri Terengganu untuk sama-sama menyumbang kepada agenda pembangunan sosio ekonomi negeri Terengganu secara mampan dan lestari demi kemajuan rakyat Terengganu amnya.
“Projek ini akan meletakkan HeiTech di landasan yang betul dalam mencapai hasratnya menjadi ‘Mini Independent Power Provider’, atau IPP kepada pembekal tenaga di negara ini. Ia akan dilaksanakan dengan kapasiti 2.85 megawatt dan dijangka mampu menampung keperluan tenaga kepada penduduk setempat. Kami menyasarkan untuk menyelesaikan projek ini sebelum suku ketiga 2024, iaitu kira-kira dalam tempoh 24 bulan.
Dari segi pengembangan perniagaan, projek ini merupakan salah satu usaha HeiTech untuk mempelbagaikan cabang perniagaan termasuk meneroka peluang perniagaan baharu seperti sektor tenaga boleh baharu selaras agenda transformasi syarikat itu sebagai syarikat pembekal teknologi menyeluruh kepada sektor awam dan komersil di dalam dan peringkat global,” tambah beliau.
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Penasihat Korporat Kepada Menteri Besar merangkap Pengarah Urusan MBI Modal Sdn Bhd, Mazli bin Mohd Noor dan Pengerusi Domainedge Sdn Bhd, Dato’ Mohd Fadzli bin Yusof.