Kuala Lumpur – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengingatkan pengguna media sosial supaya sentiasa menjaga kesopanan, bertolak ansur serta tatasusila ketika memberikan pandangan sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
SKMM dalam kenyataan berkata, pihaknya akan terus membuat pemantauan bagi membendung penyebaran maklumat yang tidak sahih serta kenyataan bersifat jelik membabitkan unsur 3R, iaitu raja, agama dan kaum.
“Sebarang perkongsian kandungan yang bersifat palsu, jelik dan mengancam merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya hari ini.
Kenyataan itu berkata, tindakan penguatkuasaan akan dijalankan berdasarkan aduan daripada orang awam mengikut peruntukan undang-undang sedia ada secara telus demi melindungi ketenteraman dan kepentingan masyarakat.
Orang ramai boleh melaporkan sebarang insiden atau kandungan berunsur 3R di media sosial melalui portal aduan SKMM di pautan https://aduan.skmm.gov.my/
Selain itu, masyarakat juga boleh menyalur maklumat atau melaporkan berita palsu melalui pautan https://sebenarnya.my/salur/.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan PRU15 akan diadakan pada 19 November, dengan tarikh pengundian awal pada 15 November.