Kuala Lumpur – Tidak cukup dengan Absolut Food Festival 2022, kini Absolut dengan kerjasama bersama jenama ELFBAR menganjurkan sebuah lagi festival yang menggabungkan makanan dan lagu.
Bakal muncul dengan festival akhir tahun ini, Pengarah Urusan Absolut Brands Sdn Bhd, Nur Ali Nadzwan menyatakan ini merupakan satu festival bagi membawa para peminat muzik tanah air dengan sebuah konsert percuma pada awal bulan hadapan bermula 4 hingga 6 November.

“Setelah 2 tahun kita semua tidak boleh berhibur di konsert ataupun apa-apa festival disebabkan pandemik, jadi kami bawakan Absolut Music Festival dimana akan ada konsert percuma selama 3 hari sambil para pengunjung dapat menyokong peniaga makanan tempatan melalui vendor-vendor kami nanti.
“Konsert ini terbuka kepada sesiapa sahaja, tiada bayaran dikenakan dan yang pasti pengunjung dapat mendengar muzik dari penyanyi tempatan pelbagai genre sambil menikmati pelbagai makanan yang dijual” katanya.

Selebriti, Nadiyah Shahab selaku Pengarah Eksekutif menjelaskan Konsert ini bakal membawa seramai 18 penyanyi terkenal tanah air dan beberapa artis baharu tempatan digandingkan di atas satu pentas yang sama.
“Kami bawakan artis-artis terkemuka negara sesuai untuk semua peringkat umur dari warga emas mahupun golongan anak muda, Insya Allah semua yang datang pasti terhibur mengikut citarasa masing-masing” jelasnya.
Barisan penyanyi utama yang bakal membuat persembahan adalah kumpulan SEARCH ,Alleycats, Joe Flizzow, Andi Bernadee, Akim & The Majistret, Aman Ra, Floor 88, Faizal Tahir, Bunkface, Elizabeth Tan, DOLLA , Janna Nick, Ayda Jebat, Kugiran Masdo , Kidd Santhe , Projector Band , ForceParkBois dan Insomniacks. Dan juga bakal memperkenalkan dua kumpulan wanita terbaharu iaitu The Gadys dan The Sara Sisters.

Kelainan yang kami bakal bawakan adalah dengan menyatukan kepelbagaian di dalam satu acara. Dengan tidak hanya menumpukan pada festival musik sahaja, acara kali ini juga bakal membawakan sebanyak lebih 110 peniaga kecil dan sederhana yang terdiri daripada para peniaga makanan, minuman, pakaian, kosmetik dan sebagainya.
Tidak lupa juga dengan kehadiran lebih 50 penggiat media sosial dan 50 para penggiat dari industri lakonan seperti Aedy Ashraf, Meerqeen, Anna Jobling, Uqasha Senrose, Emma Maembong, Hannah Delisha dan ramai lagi yang bakal memeriahkan suasana acara ini kelak.
Festival ini turut mendapat sokongan daripada Tourism Malaysia dan Cuti-Cuti Malaysia dan menjemput orang ramai untuk hadir beramai-ramai memeriahkan lagi festival yang bakal berlangsung selama 3 hari di Bandar Malaysia, Sungai Besi.