Sungai Buloh – Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) komited bawa pelajar kearah pendidikan yang lebih tinggi bagi memartabatkan golongan pelapis dalam dunia pendidikan.
Melalui program ‘Selangkah ke Menara Gading’ dan townhall Ikon Malaysia, seramai lebih 600 para pelajar tingkatan 6 yang bakal menduduki peperiksaan STPM dibimbing dalam slot “Meniti Kejayaan & Mendepani Cabaran Masa Hadapan” yang disampaikan oleh Menteri Kesihatan yang juga ikon belia, YB Khairy Jamaluddin.

Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Dato’ Mohd Aizuddin Ghazali bagaimanapun menjelaskan program ini sekalipun tiada kaitan agenda politik malah ianya lebih bersifat pendedahan kepada para pelajar tentang bagaimana proses untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi.
“Kami bawa para pelajar tingkatan 6 ke UiTM Puncak Alam agar mereka dapat merasa sendiri pengalaman masuk ke kawasan universiti dan menjemput YB KJ untuk bersama mereka dalam memberi semangat dan motivasi.
“Program kami terbuka dan pelajar berpeluang untuk bertanya mahupun meluahkan apa yang mereka fikir dan rasa lebih-lebih lagi mereka juga berhak sebagai pengundi baru” jelasnya.
Beliau juga turut menambah, pelajar akan didedahkan teknik dan cara memohon serta membuat pilihan tepat untuk kursus yang bakal dipilih di universiti nanti.
Program ini akan diteruskan dari masa ke semasa agar dapat membantu para pelajar membuat pilihan tepat dan kekal bermotivasi melanjutkan pelajaran.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Amanah PRIHATIN, Prof Emeritus Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar.