Petaling Jaya – Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) rancak menggerakkan aktiviti seni dalam usaha menjadikan Petaling Jaya (PJ) sebagai Kota Seni.
MBPJ bakal mengadakan Petaling Jaya International Folklore Festival (PJ FOLKLORE) 2022, sebuah festival kesenian budaya yang telah masuk penganjuran kali ke-7 yang merupakan festival tahunan pada 28 November hingga 4 Disember 2022 bertempat di Dataran Petaling Jaya dan Pusat Bandar Seksyen 52 Petaling Jaya.

Festival ini menyasarkan penyertaan peserta dan pengunjung seramai 30,000 orang. Ia juga merupakan usaha sama di antara MBPJ dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), International Council of Organizations of Folklore Festivals and Folk Arts (CIOFF Malaysia) dan Tourism Selangor.
PJ Folklore 2022 ini merupakan salah satu usaha dan inisiatif bagi mempromosikan Bandar Raya Petaling Jaya sebagai sebagai sebuah Kota Seni dan Destinasi Pelancongan Antarabangsa selain menghidupkan kawasan Seksyen 52. Selain itu, ia juga selaras dengan pelaksanaan Petaling Jaya Smart, Sustainable and Resilient (PJSSR2030), ia juga merupakan salah satu agenda menjadikan Petaling Jaya sebagai bandar raya mampan.
Festival ini mengetengahkan konsep kepelbagaian, keunikan, keharmonian, kesenian rakyat, budaya komuniti tempatan dan antarabangsa, perkongsian ilmu dan ketamadunan negara-negara serta memupuk kasih sayang dan cintakan budaya negara-negara lain.

Pelbagai acara menarik akan dianjurkan antaranya melibatkan persembahan kebudayaan dan pameran busana tradisional daripada 8 buah negara antarabangsa iaitu Indonesia melibatkan dua kumpulan dari Bandung dan Kalimantan, Korea Selatan, Filipina, Thailand, Mexico, Sri Lanka, Jepun dan Uzbekistan. Manakala 10 buah negeri di Malaysia iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Pulau Pinang dan Johor.
PJ Folklore 2022 melibatkan 31 program secara percuma seperti PJ Fight Night (MMA), Pocket Show, Asian Food Festival, Pameran Busana & Jualan Pelbagai, Wayang Kulit (Pok Chu), Dikir Barat (Issey), Persembahan Kebudayaan Antarabangsa, Konsert WINGS Ceritera Rakyat dan lain-lain.
Kemuncak festival ini, MBPJ membawa kumpulan rock terkenal, WINGS dalam sebuah konsert percuma di padang Amcorp Mall. Dalam konsert ini, WINGS bakal mempersembahkan 8 buah lagu untuk para peminat.
Turut hadir dalam sidang media, Timbalan Datuk Bandar MBPJ, TPr. Hajah Sharipah Marhaini binti Syed Ali.