Kuala Lumpur – Dalam usaha melebarkan sayap dan meneroka pasaran baharu, penerbit filem mega, Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan, Studio Kembara Sdn Bhd menjalin kerjasama dengan penggerak industri digital kreatif UniVRse Sdn Bhd dan Beyond4 Sdm Bhd.
Penerbit merangkap Pengarah Urusan Studio Kembara, Abdul Rahman Mat Dali, berkata perjanjian kerjasama ini bagi membawa seni persilatan dan sahsiah adat melayu ke dalam industri digital dan permainan virtual (gaming).

“Bagi mengejar dan seiring dengan era metaverse, kami menterjemahkan seni silat melayu dalam gaming untuk memupuk golongan muda mengenali, mempelajari dan seterusnya meminati ilmu silat disamping mendidik mereka tentang tata cara adat melayu” katanya.
Beliau turut menambah, perisian gaming ini akan diperluaskan secara global dan secara tkdak langsung menarik minat orang luar mengenai bangsa melayu dan mengangkat tokoh-tokoh persilatan negara.
Ketua Pegawai Eksekutif UniVRse, Mohd Hezri Amir berkata, kerjasama ini terjalin apabila pihak Studio Kembara bersetuju melabur sebanyak RM1.3 juta dalam menghasilkan kandungan digital dan permainan virtual (gaming) yang akan dilancarkan pada akhir 2023 sepenuhnya.

“Studio Kembara berperanan sebagai pemegang taruh terbesar untuk projek digital ini dan kami berharap kerjasama ini berterusan dan besar harapan saya untuk membawa transformasi ini ke pasaran global” jelasnya.

Sebagai rekod, Univrse adalah syarikat yang tersenarai pendek antara 15 teratas dari 600 syarikat pemula (start-up) dan sedang melalui fasa kedua ‘My Startup Pre Accelerator Programme’ dan telah memenangi tempat ketiga di Hong Leong Bank Hackaton tahun 2022.
Turut hadir, Pengarah Beyond4, Cheong Hom Tai. Beyond4 berperanan sebagai syarikat pemasaran yang akan membawa projek ini menembusi pasaran dunia.