KUALA LUMPUR- Diabetes jenis 2 (T2D) ialah sejenis penyakit tidak berjangkit dan juga antara penyakit kronik dalam senarai teratas yang menjejaskan kesihatan rakyat Malaysia. Kira-kira satu daripada lima – atau 3.9 juta – rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas didapati menghidapi T2D berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019. Dianggarkan bilangan rakyat Malaysia yang cenderung menghidap T2D akan meningkat kepada tujuh juta orang, atau hampir satu daripada tiga orang dewasa yang berusia 18 tahun ke atas menjelang tahun 2025.
“Bilangan pesakit yang menghidap penyakit ini di Malaysia telah meningkat secara berterusan sejak beberapa tahun lalu. Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi, bilangan penghidap diabetes dewasa di negara ini meningkat daripada 11.2% pada tahun 2011, kepada 18.3% pada tahun 2019 dalam tempoh lima tahun dan trend ini akan terus berlaku memandangkan kadar pradiabetes dan berat badan berlebihan/obesiti yang tinggi. Kedua-dua keadaan ini akan menyebabkan berlakunya diabetes pada masa hadapan. T2D menjadi kebimbangan serius kerana ia menjadi faktor risiko utama untuk penyakit kardiovaskular dan buah pinggang. Sekiranya anda menghidap diabetes, kemungkinan untuk anda menghidap penyakit jantung atau strok adalah dua kali ganda lebih tinggi berbanding seseorang yang tidak menghidap diabetes—dan pada usia yang lebih muda. T2D juga merupakan punca utama bagi penyakit buah pinggang kronik (CKD) dan penyakit buah pinggang peringkat akhir (ESKD),” kata perunding pakar endokrinologi Hospital Putrajaya Datuk Dr Zanariah Hussein.
Beliau menyatakan bahawa walaupun terdapat pelbagai ubat untuk mengawal penyakit diabetes, masih ramai pesakit tidak dapat mengawal penyakit ini dengan baik. “Sebahagian daripadanya adalah kerana ramai pesakit berasa sukar untuk mengubah gaya hidup mereka seperti mengamalkan pemakanan yang lebih sihat dan melakukan senaman dengan kerap bagi membantu menguruskan penyakit tersebut. Penyakit ini juga sukar dikawal kerana kurangnya pematuhan terhadap pengambilan ubat-ubatan mereka terutamanya apabila mereka berasa sihat. Para pesakit tidak menyedari bahawa tahap glukosa yang tidak terkawal dalam darah boleh mengakibatkan masalah kepada pelbagai organ dalam badan mereka seperti buah pinggang, mata, saraf, jantung dan lain-lain,” katanya.
Pematuhan pengambilan ubat-ubatan adalah penting bagi pesakit diabetes untuk memastikan paras gula dalam darah pesakit kekal berada dalam julat normal sepanjang masa. Kajian oleh Teng CL et al, yang diterbitkan dalam Journal of the ASEAN Federation of Endocrine Societies, yang merangkumi meta-analisis 10 kajian di Malaysia menunjukkan bahawa 34.2% pesakit diabetes mengambil ubat kurang daripada jumlah yang ditetapkan.
Profesor perubatan dan perunding endokrinologi Universiti Teknologi MARA, Dr Rohana Abdul Ghani berkata: “Antara faktor yang boleh menjejaskan pematuhan pesakit dalam pengambilan ubat-ubatan adalah bilangan ubat yang mereka sedang ambil, kekerapan mereka mengambilnya, bilangan dos yang perlu diambil, dan kemudahan untuk mengambil ubat.”
Beliau berkongsi bahawa terdapat beberapa inovasi dalam rawatan penyakit diabetes sejak beberapa tahun kebelakangan ini, yang bertujuan membantu pesakit menguruskan penyakit mereka dengan lebih baik. “Dekad yang lalu telah menyaksikan terapi-terapi baharu antaranya ialah glucagon-like-peptide-1 receptor agonists (GLP-1 RAs) yang sedang dibangunkan. Jenis ubat ini meniru tindakan hormon GLP-1 semula jadi dalam badan yang meningkatkan rembesan insulin daripada pankreas mengikut jumlah gula di dalam badan, melambatkan pembebasan glukosa yang disimpan di dalam hati, melambatkan penghadaman dan menggalakkan rasa puas (atau rasa kenyang),” jelasnya. Tambah beliau lagi, terdapat satu lagi inovasi yang dicapai baru-baru ini iaitu pembangunan ubat GLP-1 RA dalam bentuk oral yang dahulunya hanya boleh didapati dalam bentuk suntikan.
Selain merawat diabetes, ubat GLP-1 RA juga telah terbukti mempunyai kesan perlindungan terhadap jantung. Menurut Pakar Perunding Kanan Kardiologi Institut Jantung Negara Dato’ Sri Dr Azhari Rosman, ujian klinikal menunjukkan bahawa ubat jenis ini berjaya mengurangkan bilangan kejadian kardiovaskular kepada penghidap penyakit diabetes jenis 2.
“Kesan perlindungan terhadap jantung ini termasuk mengurangkan kematian akibat masalah jantung serta serangan jantung dan strok yang tidak membawa maut,” katanya lagi. “Ini sangat penting kerana pesakit diabetes mempunyai risiko dua hingga empat kali ganda lebih tinggi untuk meninggal dunia akibat serangan jantung atau strok berbanding mereka yang tidak menghidap diabetes. Oleh itu, ubat yang boleh merawat diabetes sekali gus melindungi jantung memberi manfaat tambahan kepada para pesakit terutamanya memandangkan penyakit jantung masih lagi menjadi pembunuh nombor satu di Malaysia.”