Kuala Lumpur – Program Mentor Wanita Cukup Berani Maggi® (PMWCBM) yang memasuki tahun ketiga penganjurannya, kali ini turut melibatkan kerjasama Google, Meta dan TikTok dalam membuka peluang janaan pendapatan yang mampan kepada usahawan wanita terlibat menerusi kandungan dimuat naik mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé (Malaysia) Berhad, Juan Aranols berkata, program dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) itu mampu membantu melahirkan wanita berdaya saing di negara ini.

“Program edisi ketiga PMWCBM diadakan dengan kerjasama syarikat teknologi Google, Meta dan TikTok menawarkan bengkel peningkatan kemahiran komprehensif dan kelas induk yang memfokuskan pada penciptaan kandungan untuk media sosial, pertumbuhan peribadi dan cara mengembangkan perniagaan berasaskan makanan.
“Tumpuan utama adalah kepada komuniti B40 menerusi bengkel peningkatan kemahiran dan sesi penglibatan untuk membantu mereka memanfaatkan ekonomi digital,” katanya pada pelancaran Program Wanita Cukup Berani Maggi® (PMWCB) di sebuah hotel Le Meridien, Petaling Jaya.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pihak kementerian komited untuk memperbanyakkan lagi usaha bagi menyokong pembabitan wanita secara produktif dalam pasaran kerja bersama pelbagai pihak.

“Saya yakin inisiatif seperti ini akan menjadi nadi kesinambungan dalam memperkasakan peranan wanita khususnya dalam ekonomi keusahawanan,” katanya.
Justeru, Nancy berkata, kementerian amat menyokong usaha MAGGI mempertingkatkan jangkauan komuniti akar umbi yang tertumpu kepada komuniti B40.
“Ia termasuk menawarkan bengkel peningkatan kemahiran dalam perniagaan, kemahiran digital dan penampilan diri yang sekali gus membantu meningkatkan pembabitan wanita dalam ekonomi digital,” jelasnya lagi sejurus merasmikan program tersebut.

Bengkel kali ini turut menjemput pakar daripada Google, Meta dan TikTok turut berkongsi panduan, nasihat dan amalan terbaik tentang penciptaan kandungan, manakala pengaruh yang berjaya berkongsi cerita mereka untuk memberi inspirasi kepada peserta.

Turut hadir Pegawai Eksekutif Perniagaan Maggi® Nestlé (Malaysia), Geetha Balakrishna, juri tetap PMWCBM, Datin Eina Azman, Sheila Rusly dan Anne Idris.