Politik

Anwar ucap tahniah pemilihan Umno selepas kontroversi campur tangan menteri

Kuala Lumpur – Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada kepimpinan baru Umno dan presidennya Ahmad Zahid Hamidi berikutan berakhirnya pemilihan, walaupun persoalan masih berlarutan mengenai keputusan kontroversi Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution untuk mengecualikan parti itu daripada sebarang tindakan undang-undang kerana tidak mempertandingkan dua jawatan tertingginya.

“Ini satu kejayaan yang meyakinkan dan semestinya akan mengukuhkan lagi Kerajaan Perpaduan,” kata Anwar, merujuk kepada kerajaan campurannya yang ditubuhkan tahun lalu dengan kerjasama Zahid yang memastikan sokongan daripada ahli parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN).

Anwar juga berkata BN dan gabungan Pakatan Harapan (PH) sendiri masih membincangkan pembahagian kerusi, kerana kedua-dua gabungan itu bersedia untuk berganding bahu bagi menghadapi pilihan raya negeri akan datang yang mesti diadakan tahun ini.

“Perbincangan masih lagi dalam proses, berlangsung baik dan kita akan muktamadkan dalam masa singkat… kita tidak bincang mendalam (malam ini), Jawatankuasa Pilihan Raya Sekretariat Kerajaan Perpaduan akan terus bincang,” katanya wartawan selepas menghadiri mesyuarat antara pemimpin parti gabungan itu malam tadi.

Saifuddin menimbulkan kontroversi baru-baru ini selepas beliau menggunakan kuasa menteri untuk mengecualikan Umno daripada sebarang tindakan, beberapa hari selepas Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) dilaporkan memberi amaran kepada parti itu bahawa usul untuk tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden adalah tidak sah.

Salinan surat daripada RoS yang tersebar menunjukkan agensi itu mengarahkan Umno mengadakan pertandingan bagi dua jawatan tertinggi parti itu.

Saifuddin berkata ia adalah keputusan yang “terpakai”, dan sekiranya ahli Umno yang sebelum ini membawa isu itu kepada RoS kerana tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, mereka boleh membawanya ke mahkamah. 

Bercakap di Dewan Rakyat pada 8 Mac, beliau berkata pengecualian yang diberikan kepada Umno adalah mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966. 

“Seksyen 70 akta itu secara khusus membenarkan menteri membuat beberapa pengecualian dan keputusan yang saya buat itu menjurus kepada pengecualian pematuhan Seksyen 13 akta yang sama,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: