Gaya Hidup

REVIU: Samsung Galaxy A34 5G – Peranti berbaloi dengan rekaan premium

Samsung Galaxy A34 5G yang menjadi model kesinambungan untuk Galaxy A33 5G sebelum ini. Dengan reka bentuk serba baharu, paparan lebih terang, perkakasan dalaman dinaik-taraf dan pengalaman perisian terkini, Samsung nampaknya cuba memuatkan pelbagai hal yang menarik pada siri Galaxy A mereka pada tahun ini.

Sama ada ia mampu meneruskan lagi kesinambungan tersebut atau tidak, kita akan menelitinya dengan lebih lanjut di dalam artikel ini.

Secara ringkasnya, Galaxy A34 5G menawarkan beberapa penambahbaikan berbanding model terdahulu, melalui:

  • Paparan skrin yang lebih baik
  • Rekaan mirip model telefon pintar mercu
  • Bateri yang dioptimasikan dengan lebih baik melalui pemprosesan jenis jimat tenaga
  • Bluetooth 5.3

Reka bentuk – Kemasan matte dan reka bentuk ringkas berikan rupa premium  

Reka bentuk Galaxy A34 5G bukanlah sesuatu yang istimewa. Ia menggunakan skrin Super AMOLED FHD+ 6.6 inci di bahagian hadapan, bahan plastik di bahagian belakang dan sisi. Warna yang saya dapat ini merupakan Awesome Lime yang agak berlainan berbanding jenama lain di Malaysia. Sekiranya anda tidak berminat dengan warna ini, anda masih boleh memilih Awesome Violet atau Silver.

Bahagian hadapannya mempunyai bezel yang agak tebal. Selain itu, ia mempunyai takuk titisan air (waterdrop notch) menempatkan kamera swafoto 13MP. Walaupun ia menggunakan panel plastik di bahagian belakang, namun dengan kemasan matte, ia memberikan hasil premium. Cap jari yang tinggal juga tidak terlalu jelas. Secara jujur, saya agak suka dengan kemasan ini.

Bahagian belakangnya juga mempunyai tri-kamera yang terdiri daripada kamera utama 48MP + ultra-lebar 8MP + makro 5MP dengan flash LED. Bonggol kamera peranti ini juga nipis tanpa sebarang dataran kamera menjadikan ia kelihatan minimal dan ringkas.

Bahagian sisi telefon melengkung sedikit di mana sisi kanan terdapat butang kuasa dan butang audio manakala sisi kiri tiada sebarang butang kawalan. Bahagian atas telefon mempunyai slot dwi-SIM dan bahagian bawahnya pula terdapat port USB-C dan pembesar suara stereo.

Spesifikasi – Lebih sesuai untuk produktiviti

  • Skrin Super AMOLED Full HD+ 6.6 inci, kadar segar semula 120Hz
  • Cipset MediaTek Dimensity 1080
  • RAM 8GB
  • Storan 256GB, boleh dibesarkan dengan kad microSD sehingga 1TB
  • Kamera utama 48MP + kamera ultra-lebar 8MP + kamera makro 5MP
  • Kamera swafoto 13MP
  • Bateri 5,000mAh
  • Sistem operasi One UI 5.1 berdasarkan Android 13
  • Sistem keselamatan Samsung Knox
  • Ukuran 161.3 x 78.1 x 8.2mm, 199g
  • Penarafan kalis air dan habuk IP67
  • Pilihan warna Awesome Lime, Awesome Graphite, Awesome Violet dan Awesome Silver

Cipset Dimensity 1080 yang digunakan sudah cukup bagus untuk meningkatkan produktiviti dan penggunaan harian anda. Ia mempunyai RAM 8GB dan storan 256GB dengan penambahan kad SD sehingga 1TB yang secara peribadi saya dapati cukup memandangkan saya hanya menggunakan aplikasi biasa. Perlu diingat semula bahawa kad SD perlu dibeli secara berasingan.

Di hadapan, terdapat skrin Super AMOLED Full HD+ 6.6 inci dengan kadar segar semula 120Hz. Kecerahan skrin boleh meningkat sehingga 1000 nits hasil sokongan ciri Samsung Vision Booster yang diperkenalkan tahun lepas pada Samsung Galaxy S22. Oleh itu, bacaan pada skrin tidak terganggu di bawah cahaya matahari yang terik. 

Dalam pada itu, ia turut dilindungi oleh Gorilla Glass 5 Corning daripada kerosakan terutamanya sekiranya ia terjatuh atas permukaan yang tidak rata. Namun, anda masih perlu berjaga-jaga kerana ia setakat telefon kelas pertengahan yang masih memerlukan perlindungan skrin tambahan.

Sudah tentu, dengan skrin AMOLED, ia memberikan warna yang terang dan pekat. Seperti Galaxy A54 5G, Galaxy A34 5G boleh mengurangkan pelepasan cahaya biru kepada sekurang-kurangnya 6.5% hampir separuh daripada kemampuan A33 5G apabila anda mangaktifkan Eye comfort shield di bahagian tetapan.

Pengimbas cap jari dalam paparan optik pada Galaxy A34 berfungsi dengan hebat dengan pengesanan pantas. Ia tidak lengah dan dalam masa satu saat, anda boleh membuka kunci skrin tanpa sebarang masalah. Kemudian, anda tidak perlu terlalu risau kerana ia mempunyai penarafan IP67 yang kalis habuk dan air. Sudah pasti, kuantiti air adalah seperti percikan hujan yang tidak terlalu banyak.

Daripada segi audio, Galaxy A34 5G mempunyai pembesar suara stereo khusus di bahagian bawah dan di bahagian posisi telinga pengguna bertindak sebagai saluran kedua. Bunyi yang dihasilkan agak kuat dan jelas tetapi ia masih memerlukan kekuatan bass. Namun, ini bukanlah satu isu yang besar kerana telefon ini lebih sesuai digunakan untuk pekerjaan dan tugasan harian.

Baterinya berkapasiti 5,000mAh dengan pengecasan 25W memberikan pengecasan 100% dalam masa 1 jam 15 minit dan 50% dalam 30 minit. Samsung mengiklankan bahawa hayat bateri mampu bertahan sehingga dua hari, namun, sepupu saya menonton YouTube selama 1 jam 30 minit tanpa henti pada kuasa bateri 50% dan bateri berkurangan sebanyak 46%, meninggalkan 4% sebagai baki. Di sini, saya kurang pasti sama ada perkara yang diiklankan adalah benar ataupun tidak.

Daripada segi operasi, Galaxy A34 5G menggunakan One UI 5.1 berdasarkan Android 13 yang mudah digunakan dan difahami. A34 5G juga layak mendapat sokongan kemas kini termasuk empat peningkatan OS dan sehingga lima tahun kemas kini keselamatan. Beberapa pengeluar telefon pintar lain menjanjikan tahap sokongan yang sama untuk beberapa peranti mereka, tetapi hanya Samsung yang menawarkannya untuk peranti yang berpatutan seperti Galaxy A34 5G dan juga Galaxy A33 5G tahun lepas.

Prestasi – Tidak sesuai untuk penggunaan lama

Tidak terlalu mengharapkan prestasi daripada cipset MediaTek Dimensity 1080. Namun, A34 memberikan prestasi yang lancar tanpa lengah. Satu lagi aspek iaitu RAM Plus meningkatkan jumlah RAM yang tersedia secara maya membantu lebih banyak aplikasi kekal terbuka di latar belakang. Sebagai contoh, saya membuka aplikasi ‘Asphalt 9’, kemudian beralih ke YouTube sambil memuat turun PUBG Mobile dan 3D Mark di Play Store.

A34 juga boleh digunakan untuk gaming tetapi ketika saya bermain game PUBG Mobile dan Asphalt 9 pada sesi yang panjang telah menyebabkan kawasan sekitar kamera belakang menjadi sedikit panas. Anda perlu meletakkannya seketika untuk membiarkan suhu turun kemudian sambung bermain game.

Bukan satu hal yang mengejutkan malahan fungsi tersebut telah dibuang oleh Samsung daripada peranti Galaxy A sejak tahun lalu. Namun Samsung memberi nilai tambah lain menerusi penarafan kalis air dan debu IP67 terbina, sepasang pembesar suara stereo yang lengkap dengan sistem audio Dolby Atmos dan bateri besar 5,000mAh yang menyokong sistem 25W.

KAMERA

Peranti ini dilengkapi tri-kamera dengan sensor 48MP (sudut lebar) dengan OIS + 8MP (ultra-sudut lebar) + 5MP (makro). Ini dipadankan pula dengan kamera swafoto tunggal sebesar 13MP. Ura-ura sebelum ini yang mengatakan Samsung bakal membuang sensor kedalaman pada siri Galaxy A baharu. Nampaknya benar-benar berlaku apabila sensor tersebut tidak disertakan pada Galaxy A34 5G mahupun Galaxy A54 5G. Peranti juga membenarkan pengguna merakam video sehingga UHD 4K (3840 x 2160)/30fps dengan ciri penstabilan terbina, di samping kebolehan zum digital mencapai 10X.

Turut disertakan adalah mod-mod kamera terbina yang terdiri dengan Fun, Portrait, Photo, Video dan More. Kamera juga menyokong AI dan HDR terbina bagi membolehkan gambar diambil dengan imbangan cahaya yang baik. Pilihan tangkapan gambar dan video pula boleh diambil pada nisbah 1:1, 3:4, 9:16 dan penuh. Tetapi tangkapan dengan mod 48MP pula hanya tersedia dengan nisbah 4:3.

Bagi mod kamera, A34 5G mempunyai kesemuanya daripada sesuatu yang asas seperti mod Makanan kepada Pro dan mod video Pro yang membolehkan anda mengawal kelajuan pengatup dan banyak lagi. 

Ia juga boleh mengambil video hiperlapse, ciri yang diperkenalkan pada Galaxy S23 tetapi nampaknya ia terdapat pada semua peranti yang dilancarkan dengan One UI 5.1. Rakaman video terhad kepada 4K@30 fps mempunyai jumlah perincian dan julat dinamik yang baik tetapi anda seharusnya tidak mengharapkan lebih untuk rakaman video pada waktu malam kerana rakaman video pada waktu siang juga tidak begitu baik. 

A34 5G juga mempunyai kamera swafoto 13MP memberikan imej yang lebih baik di luar dan di dalam rumah. Disebabkan pencahayaan tidak seperti cahaya di luar, oleh itu, imej di dalam rumah terdapat sedikit noise tetapi tidak begitu jelas.

Kesimpulan

Samsung Galaxy A34 5G kelihatan premium dengan reka bentuk minimal dan ringkas. Kemasan matte membuatkan ia kelihatan lebih eksklusif. Pengalaman saya menggunakan telefon ini cukup bagus untuk tontonan, mendengar muzik dan tugasan harian.

Ianya cukup menarik tetapi kekurangan utama yang masih wujud ialah ketiadaan bicu audio dan kepala pengecas yang diberikan. Tidak mengejutkan, walhal sudah berlaku sejak generasi sebelum ini. 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: