Kuala Lumpur – Syarikat makanan segera di bawah QSR Brands, KFC dan Pizza Hut kini turut serta menawarkan Menu Rahmah dengan kualiti premium pada harga RM5.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, terdapat dua jenis hidangan yang ditawarkan oleh kedua-dua restoran tersebut.

“Menu Rahmah KFC Meal berupa seketul ayam, roti Butterscotch berserta air mineral dan Menu Rahmah Pizza Hut Meal adalah piza saiz personal berserta air mineral dengan harga RM 5 bagi satu set menu.
“Hidangan tersebut boleh dibeli di 1,227 rangkaian restoran KFC dan Pizza Hut seluruh negara kecuali lapangan terbang, Genting Highlands dan Legoland (bagi Menu Rahmah KFC Meal) manakala Pizza Hut (PHX) RSA Pagoh dan Genting Highlands (bagi Menu Rahmah Pizza Hut Meal),” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Majlis Pelancaran Menu Rahmah KFC dan Pizza Hut telah disempurnakan Salahuddin di Restoran KFC dan Pizza Hut di ibu negara hari ini.
Inisiatif Menu Rahmah mendapat sambutan daripada pengusaha premis makanan dan syarikat-syarikat swasta semenjak dilancarkan pada 31 Januari lalu.
Turut hadir, Pengerusi QSR Brands (M) Holdings Bhd, Tan Sri Jamaludin Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan QSR Brands, Nechal Khanna.
KFC dan Pizza Hut merupakan syarikat ke-3,000 yang secara rasminya didaftar di bawah Inisiatif Rahmah.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan QSR Brands (M) Sdn Bhd, Nechal Khanna dalam ucapannya berkata, pelancaran Menu Rahmah itu dilihat sebagai peluang bagi memberi sumbangan kepada masyarakat.

“Ia adalah program yang pragmatik dan boleh dilaksanakan, dan kami melihatnya sebagai langkah kritikal untuk membantu menyokong komuniti, dalam masa yang agak mencabar ini.
“Oleh itu, kami amat berbesar hati kerana dapat menjalankan bahagian kami untuk masyarakat melalui Menu Rahmah ini.
“Kami harapkan menu daripada KFC dan Pizza Hut ini, akan menjadikan kami lebih dekat dan mudah diakses oleh lebih ramai rakyat Malaysia,” katanya.
Turut hadir, Pengerusi QSR Brands (M) Holdings Bhd, Tan Sri Jamaludin Ibrahim.
