KUALA LUMPUR – Meta akan menumpukan pada tiga bidang keutamaan, pertumbuhan video, khususnya Reels, kecerdasan buatan (AI) dan pemesejan perniagaan, untuk membantu memacu pertumbuhan perniagaan dan industri di Malaysia tahun ini.
“Di Malaysia, terdapat tiga keutamaan perniagaan yang kami lihat agak berkesan untuk pengiklan — Reels, AI dan pemesejan perniagaan.
“(Bercakap tentang kandungan) Reels pastinya berfungsi dengan baik pada peringkat global. Kini terdapat 200 bilion Reels dimainkan setiap hari (merentasi Facebook dan Instagram), dan kami melihat bahawa mereka menunjukkan prestasi yang sangat baik di Malaysia,” katanya semasa membentangkan kemas kini perniagaan Meta untuk Malaysia di sini pada Khamis.
Mengenai Reels, beliau menjelaskan bahawa video secara global sudah berkembang apabila pengguna menghabiskan lebih daripada 50 peratus masa mereka di Facebook dan Instagram menonton video, dan menariknya, dua daripada tiga pengiklan sudah memasukkan Reels dalam pemasaran mereka.
Selain itu, Tan berkata menurut laporan terkini Meta, menonton video adalah aktiviti dalam talian nombor satu dalam kalangan rakyat Malaysia, dan 27 peratus responden Malaysia meletakkan video sebagai salah satu daripada tiga saluran teratas mereka untuk mendapatkan dan menilai produk.
Beliau menambah bahawa 26 peratus rakyat Malaysia menyatakan mereka telah membeli lebih banyak produk berkaitan penstriman dan pencipta kandungan berbanding tahun lepas.
“Jadi sementara kita melihat trend ini di peringkat global, ia pasti berlaku lebih pantas di pasaran seperti Malaysia dan Asia Tenggara,” katanya.
Menurut Meta, pertumbuhan Reels berkait rapat dengan peranan AI dalam menyediakan pengalaman yang diperibadikan untuk orang ramai.
Ia berkata bahawa teknologi penyesuaian daripada Al memacu peningkatan 24 peratus dalam penggunaan kandungan Reels di Instagram.
Sementara itu, Meta berkata peranan pemesejan perniagaan adalah memudahkan perbualan perniagaan antara pemilik perniagaan dan khalayak mereka.
“Kini terdapat lebih satu bilion pengguna di serata dunia yang berhubung dengan perniagaan menerusi aplikasi permesejan Meta setiap minggu,” katanya.
Data Boston Consulting Group (BCG) dan Meta pada 2022 menunjukkan sekurang-kurangnya satu daripada tiga penguna APAC mengirim mesej kepada perniagaan sekurang-kurangnya sekali seminggu dan tujuh daripada 10 perniagaan besar yang diselidiki meletakkan permesejan perniagaan sebagai sangat atau terlalu penting untuk keseluruhan perniagaan mereka.
Untuk Malaysia, 61 peratus daripada responden yang diselidiki merupakan pengguna permesejan perniagaan dan lebih daripada 55 peratus pengiklan di Malaysia menggunakan Iklan Klik ke Mesej.
Meta berkongsi bahawa Carsome, platform e-dagang kereta bersepadu terbesar di Asia Tenggara, menjana petunjuk secara berhemat dengan menggunakan keupayaan pembelajaran mesin Meta dan dapat berhubung secara automatik dengan khalayak merentas kedua-dua borang petunjuk dan Messenger dalam satu kempen iklan melalui pengoptimuman destinasi.
“Kempen itu mengurangkan kos setiap petunjuk lima peratus lebih rendah di Malaysia daripada iklan dengan pengoptimuman destinasi, berbanding kempen biasa,” katanya.
