Kuala Lumpur – Adina Charity Circle (Adina) dengan kerjasama Kumpulan Ibu Bapa dan Sokongan Anak-anak Kanser (KIDS) mengagihkan bantuan susu dan lampin pakai buang kepada 50 penerima manfaat yang terdiri dari kanak-kanak penghidap kanser.

Pengerusinya, Nurdieana Mohd Mardzi berkata bantuan ini disalurkan bagi kanak-kanak dari latar penyakit kanser yang pelbagai seperti kanser otak, kanser limfoma, kanser darah dan sebagainya.
“Kebanyakan penerima ini masih lagi dalam rawatan di hospital Kuala Lumpur dan ada juga yang telah diminta pulang kerumah menjalani rawatan kendiri.
“Kami terpanggil membantu anak-anak ini kerana setiap daripada mereka mempunyai keperluan berbeza bergantung kepada diet yang diperlukan.
“Dengan bantuan kecil ini dapat membantu meringankan beban ibu bapa pesakit untuk keperluan susu dan lampin pakai buang” katanya.

Nurdieana menambah, pihaknya mendapat bantuan dana dari beberapa NGO seperti Yayasan Peduli Insan Malaysia, KRAYON, Anuar Zain Charity dan beberapa selebriti lain seperti Radhi Khalid dan Ikhwan Fatanna.
“Semasa di dalam rawatan kemoterapi, keperluan susu dan diapers kanak-kanak ini meningkat akibat dari kesan rawatan. Gejala kekurangan zat akibat kurang selera makan dapat dikurangkan dengan pengambilan susu formula khas seperti Pediasure dan Nutren Junior.
“Adina mengalu-alukan kepada mana-mana pihak NGO, korporat dan sesiapa sahaja untuk berkerjasama membantu kanak-kanak kanser dan pihak yang memerlukan” tambahnya.
Turut hadir pada majlis serahan, Pengerusi KIDS, Hamidah Tajudin. Majlis diadakan di Restoran Homst, Kampung Baru Kuala Lumpur.
