Untitled

Kuala Lumpur – Syarikat tekstil dan pakaian, Jakel tampil memberi sumbangan sebanyak RM300,000 dan syarikat Ariani juga menghulurkan sebanyak RM200,000. Ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM500,0000 kepada tabung Viva Palestina Malaysia.

Dua sumbangan tersebut telah disampaikan kepada Pengasas Viva Palestina Malaysia, Puan Sri Norma Hakim di ibu pejabat Kumpulan Jakel, dekat sini pada Isnin.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, inisiatif menyalurkan sumbangan tersebut adalah tanda sokongan dan keprihatinan syarikat itu kepada nasib rakyat Palestin.

Beliau berkata, sumbangan tersebut sebagai tanda solidariti Jakel ke atas bumi Gaza, seterusnya menentang kezaliman.

“Inisiatif ini bukan sahaja mencerminkan sokongan berterusan kami kepada usaha kemanusiaan di Palestin tetapi juga berfungsi sebagai peringatan mendalam bahawa komitmen Malaysia terhadap perjuangan Palestin tetap kukuh dan tidak berbelah bagi.”

Jelasnya, peperangan di Palestin menjadikan keadaan semakin mendesak apabila Israel melakukan serangan ke atas kemudahan awam seperti hospital, sekolah, masjid, dan gereja.

Tegasnya, perbuatan biadab tersebut ternyata telah melanggar undang-undang peperangan antarabangsa.

Katanya, selain banyak nyawa terkorban syahid, kemudahan dan bantuan perubatan berhadapan situasi getir apabila hospital dibedil pihak Zionis Israel.

Dalam menghadapi tragedi tersebut, situasi di Gaza telah mengundang perhatian antarabangsa. Banyak negara telah tampil untuk membantu rakyat Palestin yang menghadapi kesukaran bekalan asas seperti air, elektrik, makanan, dan perubatan.

“Kami di Jakel juga terpanggil untuk menghulurkan bantuan dan ia diharap memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya.

Tambah Mohamed Faroz, dalam satu usaha kolektif melalui kerajaan Malaysia, Kumpulan Jakel turut menghulurkan sumbangan berjumlah RM3 juta kepada Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang dikendalikan oleh Kementerian Luar.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading