COVER

KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal, Ernie Zakri, meluahkan rasa syukur dan teruja apabila diberi kepercayaan untuk menyanyikan lagu tema bagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) yang berjudul Surreal Experiences.

Peluang tersebut disifatkan sebagai satu tanggungjawab besar yang amat bermakna buat dirinya dan negara tercinta.

Menurut Ernie, peluang yang diberikan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya itu merupakan satu penghormatan besar yang tidak pernah terlintas di fikirannya.

“Saya tak dapat ungkapkan… sampai sekarang masih terfikir-fikir kerana dari kecil saya membesar dengan menyanyikan lagu Cuti-Cuti Malaysia. Saya tahu ia sesuatu yang besar dan sangat bermakna untuk seseorang menyanyikan lagu kempen Tahun Melawat Malaysia. Ini adalah tanggungjawab yang sangat bermakna buat saya,” katanya ketika dihubungi.

Menganggap peluang tersebut sebagai momen terbaik sepanjang perjalanan kariernya, penyanyi lagu Masing-Masing itu turut meluahkan rasa kagumnya terhadap Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, yang pernah menyampaikan lagu tema Cuti-Cuti Malaysia pada edisi terdahulu.

“Saya sangat mengagumi persembahan Datuk Siti dalam lagu Cuti-Cuti Malaysia. Malah, saya pernah menyanyikan lagu itu ketika menyertai pertandingan sebelum ini. Alhamdulillah, ini rezeki yang Allah beri, dan saya bersyukur atas peluang ini kerana saya juga masih baru dalam industri. Ini adalah momen terbaik yang saya kecapi,” kongsinya penuh teruja.

Pemenang trofi Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) pada Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM23) itu turut menyifatkan penghasilan lagu Surreal Experiences sebagai karya yang sangat indah dan istimewa.

“Bila dapat lagu ini, saya terus kata ‘yes’. Idea dari segi nyanyian turut mendapat input daripada saya sendiri, mengikut kemampuan dan apa yang saya boleh bawakan. Lagu ini sangat mencerminkan Malaysia. Kepelbagaian bahasa yang diketengahkan juga buat saya gembira dan bersyukur,” ujarnya.

Pada Isnin, kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam sebuah majlis gilang-gemilang yang berlangsung di Hangar 6, Kompleks Kejuruteraan MAB. Majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran logo rasmi kempen, maskot, lagu tema, dan reka bentuk khas livery pesawat.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menyasarkan ketibaan 35.6 juta pelawat antarabangsa dengan anggaran pendapatan sebanyak RM147.1 bilion sepanjang TMM2026, menjadikan kempen ini sebagai usaha penting dalam mempromosikan keindahan dan kepelbagaian budaya Malaysia di mata dunia.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading