Airasia-X-1024x580

SEPANG  – AirAsia akan memindahkan perkhidmatan domestiknya dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (Lapangan Terbang Subang) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA T2) berkuat kuasa 7 April 2025. Langkah ini bertujuan untuk mengoptimumkan kecekapan operasi berikutan peningkatan permintaan perjalanan serta mempertingkatkan pengalaman penerbangan para tetamu secara keseluruhan.

Dengan jumlah penumpang antara Kuala Lumpur dan destinasi utama seperti Kota Kinabalu dan Kuching meningkat secara signifikan melebihi 16 peratus dari tahun ke tahun, penggabungan operasi domestik di KLIA T2 akan membolehkan syarikat penerbangan ini menampung penambahan trafik dengan lebih baik.

Sejak beroperasi semula dari Lapangan Terbang Subang pada bulan Ogos tahun lalu, AirAsia telah menilai dengan teliti corak penumpang dan keperluan operasinya. Syarikat penerbangan ini mendapati bahawa KLIA T2 menawarkan platform terbaik untuk mengoptimumkan kecekapan oprasi serta kualiti perkhidmatannya. Walaupun Lapangan Terbang Subang menawarkan kemudahan, terutamanya kepada bagi penduduk bandar, pembangunan semulanya untuk menyokong pertumbuhan masa depan akan mengambil masa. Justeru, AirAsia akan menetapkan operasinya di KLIA T2 bagi mengoptimumkan kecekapan operasi dan mempertingkatkan pengalaman para tetamu secara keseluruhan.

Dato’ Captain Fareh Mazputra, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia berkata: “Berikutan peningkatan permintaan bagi laluan Kota Kinabalu dan Kuching, penggabungan perkhidmatan domestik kami di KLIA T2 adalah langkah terbaik untuk memacu pertumbuhan di masa hadapan. Langkah ini membolehkan kami meningkatkan kecekapan operasi dan mempertingkatkan pengalaman penerbangan para tetamu secara keseluruhan.

Walaupun Lapangan Terbang Subang menawarkan akses lebih mudah bagi penduduk bandar, infrastruktur di KLIA T2 lebih sesuai untuk memenuhi keperluan penerbangan sambungan berskala besar – terutamanya pada waktu puncak perjalanan. Ia juga menyediakan kapasiti yang diperlukan untuk pertumbuhan berterusan apabila kami menambah lebih banyak penerbangan bagi memenuhi permintaan tinggi ke Sabah dan Sarawak.

“Bagi memastikan peralihan lancar, kami akan terus beroperasi dari Lapangan Terbang Subang sepanjang minggu sambutan Hari Raya untuk memenuhi permintaan sedia ada. Ini membolehkan majoriti tetamu yang melakukan perjalanan sempena musim perayaan ini menikmati kemudahan tersebut sebelum peralihan sepenuhnya ke KLIA T2. Kami juga telah menyediakan Pilihan Pemulihan Perkhidmatan (SRO) yang menyeluruh, termasuk pertukaran penerbangan secara percuma dalam tempoh 30 hari, akaun kredit, atau bayaran balik penuh kepada para tetamu bagi menangani sebarang kesulitan.

“Sesi perundingan positif dengan konsortium Gateway Development Alliance (GDA) juga memastikan peralihan ini sejajar dengan pembangunan infrastruktur yang lebih baik serta matlamat keterhubungan jangka panjang lapangan terbang utama. KLIA T2 telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab mega utama di rantau ini dan kami berbangga untuk terus memperluas kehadiran kami sebagai syarikat penerbangan utama. Pada masa yang sama, kami terus komited untuk meningkatkan sambungan dan perkhidmatan di hab-hab utama kami yang lain di Malaysia bagi para tetamu,” tambah beliau.

AirAsia kekal komited untuk menyokong matlamat industri penerbangan di Malaysia yang lebih luas serta memperkukuh kesalinghubungan sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan jangka panjangnya.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading