KUALA LUMPUR – Malaysia akan menghantar pegawai ke Washington untuk memulakan proses dialog mengenai tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, Malaysia akan menyesuaikan diri dan melakukan apa saja untuk menjaga kepentingan ekonomi dalam mendepani cabaran tarif global.
Katanya, angin mungkin beralih, tetapi Malaysia tidak hanyut, malah strategi kepelbagaian perdagangan negara sudah semakin meningkat.
“Walaupun Malaysia berhasrat untuk kekal sebagai rakan perdagangan yang teguh dengan AS, negara ini akan seiring melakukan apa saja untuk menjaga kepentingan ekonomi.
“Ia termasuk membabitkan diri secara proaktif dengan AS ke arah mencapai hasil yang saling menguntungkan dan pada masa sama, mempelbagaikan dan mengukuhkan hubungan dengan semua pasaran perdagangan utama di seluruh Kesatuan Eropah (EU), Asia, Asia Barat dan Afrika.
“Kami tidak percaya kepada diplomasi megafon. Sebagai sebahagian daripada pendekatan ‘soft diplomacy’ melalui pembabitan secara senyap, kami akan menghantar pegawai kami ke Washington untuk memulakan proses dialog.
“Meskipun ruang untuk mengkaji semula hasrat asal mungkin terhad, masih terdapat peluang untuk menyesuaikan pelaksanaan dasar itu,” katanya pada Persidangan Pelaburan ASEAN 2025 di sini, hari ini.
Persidangan itu diadakan sempena Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 yang bermula 7 hingga 10 April ini.
Sementara itu, Anwar berkata, Malaysia dengan sokongan rakan kongsi melancarkan Panduan Pendedahan ESG Ringkas ASEAN untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Katanya, ia adalah alat praktikal untuk membantu perniagaan kecil mengambil langkah pertama ke arah operasi yang lebih mampan dan telus.
“Ia memandangkan PKS yang membentuk sebahagian besar asas pekerjaan sering kali terdedah kepada kejutan dan paling kurang bersedia untuk bertindak balas,” katanya.
Kira-kira 300 delegasi terdiri Menteri Kewangan ASEAN, Gabenor Bank Pusat, pegawai daripada institusi kewangan antarabangsa dan wakil sektor swasta akan menghadiri AFMGM yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Selain mesyuarat tertutup, terdapat juga persidangan perniagaan, pameran serta mesyuarat tiga hala dan mesyuarat di luar acara dengan rakan dialog iaitu China, Jepun dan Korea Selatan.
