KUALA LUMPUR – Jenama aiskrim tempatan, Inside Scoop, kembali menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dengan pelancaran edisi kedua koleksi ‘Lokal Legends’. Menampilkan kerjasama eksklusif bersama enam jenama tempatan ikonik, edisi tahun ini meraikan kepelbagaian rasa Malaysia melalui sentuhan aiskrim artisanal yang unik dan menggamit nostalgia.
Meneruskan kejayaan koleksi pertamanya pada tahun 2024, ‘Lokal Legends’ 2025 memperkenalkan enam perisa baharu yang diinspirasikan daripada snek dan minuman yang menjadi sebahagian daripada kehidupan rakyat Malaysia merentas generasi.

Antara perisa terbaharu yang diperkenalkan termasuk:
- Twiggies Choc-A-Lot (Gardenia) – Aiskrim coklat susu bersama potongan kek Twiggies Choc-A-Lot, membawa kenangan zaman kanak-kanak.
- Caramel Popcorn (GSC) – Diilhamkan daripada bertih jagung karamel GSC, digandingkan dengan kacang pecan mentega rangup untuk rasa klasik panggung wayang.
- Le-mond Lemon (Julie’s) – Gabungan segar aiskrim susu dan kurd lemon bersama biskut sandwic Le-mond yang rangup, masam dan manis.
- Gula Melaka Chocolate (Beryl’s) – Kolaborasi bersama pengeluar coklat terkemuka Beryl’s, menampilkan aiskrim coklat dengan gula melaka serta taburan biskut mentega.
- Spanish Latté (ZUS Coffee) – Aiskrim espreso bertekstur halus dengan susu pekat, diinspirasikan daripada menu popular ZUS Coffee.
- Choco Malt Kaw (Farm Fresh) – Aiskrim malt coklat berperisa “kaw” dengan sos coklat dan biji malt rangup, membangkitkan nostalgia minuman klasik kopitiam.

Pengasas Bersama Inside Scoop, Lim Shiew Li, berkata koleksi ini adalah satu penghormatan kepada budaya dan citarasa rakyat Malaysia.
“Koleksi ‘Lokal Legends’ bagaikan surat cinta buat anak-anak Malaysia. Kami bangga dapat bekerjasama dengan jenama yang dekat di hati rakyat dari snek zaman kanak-kanak hingga kudapan di pawagam dan mengubahnya menjadi pengalaman aiskrim yang istimewa.
“Selain dari kempen merdeka, kami juga bakal mempromosikan aiskrim kek bulan bagi menonjolkan budaya Malaysia yang penuh warna warni” katanya.

Sejak membuka pintu kedai pertamanya di Bangsar pada 2013, Inside Scoop telah menghasilkan lebih 200 perisa aiskrim kreatif berasaskan warisan tempatan. Hari ini, dengan lebih 60 cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia, jenama ini kekal komited kepada falsafah menghasilkan aiskrim buatan tempatan untuk dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
Sebagai sebahagian daripada sambutan Hari Kebangsaan ke-68, setiap aiskrim daripada koleksi ‘Lokal Legends’ akan disajikan dengan sarung cawan rekaan khas mewakili jenama kolaborator sebagai cenderahati eksklusif sepanjang bulan patriotik ini.

Koleksi ini boleh didapati di semua cawangan Inside Scoop mulai 18 Ogos hingga 21 September 2025, sama ada secara individu atau melalui Lokal Legends Party Pack edisi terhad pada harga RM68, yang menghimpunkan kesemua enam perisa dalam satu set istimewa.
