FB_IMG_1759021488098

Kuala Lumpur – Jenama aksesori kasut premium tempatan, Cipela, tampil menyerlah di CIMB Artober Art & Soul yang berlangsung di Malaysia International Trade & Exhibition Centre (MITEC) baru-baru ini.

Diasaskan pada tahun 2012 oleh Hidayah Hassan, penyertaan ini bukan sekadar pameran fesyen, sebaliknya satu usaha memperkenalkan warisan seni Malaysia khususnya tenunan Dastar Sabah ke dalam gaya hidup kontemporari.

Sokongan Pelabur Wanita dan Yayasan Hasanah

Di sebalik kejayaan Cipela berdiri hari ini, terselit cabaran awal termasuk kos produksi tinggi dan persepsi bahawa produk tempatan tidak mampu menandingi kualiti antarabangsa. Namun, ketekunan Hidayah membuahkan hasil apabila Cipela kini menjadi jambatan antara tradisi dan inovasi.

Lebih bermakna, usaha ini mendapat sokongan dua pelabur wanita berpengaruh Haslinda Hussein dan Bibi Rafidah Mohd Amin yang menyuntik pelaburan bukan sahaja dari segi kewangan, tetapi juga keyakinan terhadap visi Cipela. Bibi Rafidah, anak jati Sabah, membuka ruang kepada Hidayah untuk melihat potensi besar tenun Dastar sebagai lambang identiti dan peluang ekonomi.

Selain itu, Yayasan Hasanah di bawah Khazanah Nasional turut menjadi rakan strategik penting. Melalui Dana Perusahaan Sosial Hasanah dengan kerjasama Kementerian Kewangan, projek ini bukan sekadar memelihara seni, malah membantu komuniti artisan Iranun di Sabah menjana pendapatan secara mampan.

Menghidupkan Warisan Melalui Fesyen

Cipela mempersembahkan koleksi istimewa berinspirasikan Dastar di CIMB Artober, sekali gus mengangkat hasil tangan wanita Sabah ke pentas berprestij.

“Sejak hari pertama saya mengasaskan Cipela, impian saya hanyalah satu menjadikan warisan bangsa bukan sekadar khazanah yang dipelihara, tetapi sesuatu yang boleh dipakai dan disarung dengan bangga,” kata Hidayah Hassan, pengasas Cipela.

Beliau menegaskan fesyen dan reka bentuk berperanan sebagai pencerita identiti bangsa. Setiap helaian tenun yang diterjemahkan dalam kasut, beg atau aksesori bukan sahaja barangan fesyen, tetapi juga naratif tentang keluarga, komuniti dan kesinambungan budaya.

Penyertaan Cipela dalam CIMB Artober memberi sinar baharu kepada jenama tempatan dan komuniti artisan di Sabah. Hidayah berharap kejayaan ini mampu menginspirasi generasi muda melihat warisan bukan sekadar tanggungjawab, tetapi peluang ekonomi dan sumber kebanggaan negara.

Dengan sokongan berterusan Yayasan Hasanah, Cipela kini berupaya melatih lebih ramai artisan, memperkukuh komuniti, dan membina rantaian bekalan produk warisan secara mampan.

“Bayangkan tenunan Dastar hasil tangan wanita Iranun di Sabah kini boleh dipakai sebagai kasut di Kuala Lumpur atau dijinjing sebagai aksesori di negara lain. Itu bukti warisan masih hidup, relevan, dan menyara kehidupan,” jelas Hidayah.

Bagi Hidayah, keutamaan Cipela kini adalah membina ekosistem mampan yang melibatkan latihan artisan, pembangunan komuniti serta pelan kesinambungan. Beliau percaya bahawa kejayaan sebenar bukan sahaja pada aspek kewangan, tetapi juga impak sosial dan budaya.

“Jika Cipela mampu menginspirasi rakyat Malaysia untuk hidup dengan warisan penuh bangga sambil memastikan komuniti artisan terus berkembang, maka ia adalah pencapaian terbesar kami,” tambahnya.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading