KUALA LUMPUR – Legenda muzik tanah air, KRU sekali lagi mencipta sejarah apabila bakal menutup tirai perjalanan seni mereka dengan konsert GenKRU The Finale: One More Time yang dijadualkan berlangsung pada 22 November 2025 di Stadium Hoki Bukit Jalil.
Konsert ini hadir selepas kejayaan luar biasa siri konsert genKRU di Axiata Arena pada Mei lalu yang berlangsung selama empat malam berturut-turut, sehingga mencatat dua rekod dalam Malaysia Book of Records iaitu “Most Show in a Single Concert Series” dan “Most Concert Tickets Sold Out in an Hour”.
Permintaan Peminat Dorong Malam Kelima
Fenomena itu sepatutnya berakhir pada malam keempat, namun sambutan hangat dan desakan peminat membuatkan pihak penganjur, ICON Entertainment, memutuskan untuk memberi satu peluang terakhir buat peminat mengulangi nostalgia bersama kumpulan yang dikenali sebagai gamechangers industri hiburan tempatan.
“Ini bukan sekadar konsert, tetapi satu penghargaan kepada peminat yang membesar bersama karya KRU sejak tiga dekad lalu,” ujar pihak penganjur.
Pengalaman Penuh Nostalgia

Bagi memastikan ia benar-benar menjadi malam yang bersejarah, persembahan kali ini bakal menampilkan pentas berskala besar, sistem audio visual terkini dan pencahayaan dramatik.
Lebih menarik, penonton digalakkan hadir dengan tema fesyen era 90-an seperti jaket kulit, seluar kembang dan sneakers retro bagi menghidupkan kembali zaman kegemilangan KRU.
Tiket akan mula dijual pada 3 Oktober 2025, jam 11 pagi, dengan harga bermula daripada RM188 hingga RM558 bergantung kepada kategori tempat duduk.

Bagi Norman, Yusry dan Edry, konsert ini adalah penutup yang penuh makna. “Kami tidak pernah menyangka akan ada malam kelima, tetapi inilah bukti muzik Malaysia masih ada kuasa besar untuk mencipta fenomena,” kata Norman.
Dengan detik bersejarah ini, GenKRU The Finale: One More Time bukan sekadar konsert terakhir KRU, tetapi simbol legasi sebuah kumpulan yang telah mengubah landskap muzik tempatan.
