Kuala Lumpur – Jalan Istana Klang akan ditutup sementara kepada semua kenderaan pada Khamis ini bagi memberi laluan kepada perarakan Diraja sempena majlis perkahwinan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa, penutupan jalan akan berkuat kuasa mulai 7 pagi hingga 10 pagi, bagi memastikan kelancaran acara yang melibatkan perarakan dari Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz ke Istana Alam Shah.
“Penutupan ini hanya melibatkan Jalan Istana Klang. Tiada jalan lain yang akan ditutup, namun kawalan trafik akan dilaksanakan secara menyeluruh di sekitar kawasan perarakan,” jelas beliau.

Ramli turut menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang maklumat palsu berkaitan penutupan jalan yang tular di media sosial. Beliau menggesa masyarakat untuk hanya merujuk kenyataan rasmi daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Tambah beliau, tiada penutupan jalan berlaku di daerah lain di Selangor, dan semua laluan di kawasan selain Klang akan berjalan seperti biasa.
Majlis perkahwinan Diraja itu akan berlangsung di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah. Manakala istiadat persandingan dan majlis santapan Diraja dijadualkan pada 22 Oktober 2025, bertempat di Balairung Seri dan Balai Santapan Diraja, Istana Alam Shah.
