KUALA LUMPUR – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tampil memperkukuh peranan Malaysia sebagai hab kandungan serantau dengan memperuntukkan dana sebanyak RM250,000 kepada lima penerbit tempatan terpilih bagi menyokong kerjasama penerbitan bersama negara-negara ASEAN.
Peruntukan ini disediakan melalui Dana Promosi dan Penyertaan Antarabangsa (DPPA) bersempena penganjuran edisi kedua ASEAN Film & TV Summit (AFTS) 2025, yang bakal berlangsung dari 28 hingga 30 Oktober di Studio Digital Mix Stage, FINAS Hulu Klang.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, dana ini bukan sahaja bertujuan membantu kos pembentangan projek dan penyertaan ke luar negara, malah menjadi galakan kepada penerbit tempatan agar lebih aktif menjalinkan kerjasama produksi bersama rakan industri dari negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Vietnam dan Singapura.
“Kami mahu penerbit Malaysia berani melangkah ke hadapan dalam projek kerjasama rentas sempadan. AFTS bukan sekadar acara, tetapi platform strategik untuk memupuk hubungan kreatif jangka panjang dalam kalangan pemain industri serantau,” kata beliau.
Tahun ini, sebanyak 43 syarikat produksi tempatan telah menghantar penyertaan untuk sesi pitching, menandakan minat yang tinggi dalam mengeksplorasi pasaran luar melalui jaringan ASEAN.
Dengan tema “ASEAN United: Kreativiti Tanpa Sempadan”, AFTS 2025 dijangka menghimpunkan lebih 300 peserta termasuk penggiat seni, pengarah, penerbit, penyiar dan wakil platform penstriman (OTT) dari seluruh Asia Tenggara. Acara tiga hari itu juga akan menampilkan sesi perniagaan-ke-perniagaan (B2B), pembentangan projek, serta forum khas ASEAN Co-Production Forum.
Penganjuran AFTS ini selaras dengan visi strategik Malaysia untuk memperkukuh ekosistem kandungan serantau dan membuka lebih banyak peluang eksport karya kreatif tempatan.
