Kuala Lumpur – Dalam dunia yang semakin sibuk dan penuh tekanan, mencari ruang untuk “healing” atau penyembuhan diri menjadi satu keperluan. Menyedari keperluan itu, Healing Night 2026 hadir sebagai sebuah keraian muzik yang bukan sekadar menghibur, tetapi mengisi jiwa dengan semangat positif dan tenaga baharu.
Acara istimewa ini bakal berlangsung pada 24 Januari 2026 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur lokasi bersejarah yang dipilih sebagai simbol perpaduan dan semangat bangsa.
Kolaborasi Tiga Kuasa Kreatif
Healing Night 2026 merupakan hasil gabungan tenaga tiga syarikat hebat:
- Kembar Nusantara Sdn Bhd selaku penganjur dan ‘presenter’,
- Creative Page Sdn Bhd yang menguruskan produksi, dan
- Yumeca Sdn Bhd yang bertanggungjawab terhadap strategi, pemasaran dan penglibatan pengguna.
Gabungan ini memastikan acara yang dilabel sebagai pesta semangat positif ini bukan sekadar konsert, tetapi satu pengalaman holistik untuk jiwa dan minda.

Barisan Penghibur Bertaraf Nusantara
Membawa tema “muzik sebagai terapi”, Healing Night 2026 menampilkan barisan penyanyi hebat yang mampu menyentuh hati pendengar. Antara yang bakal menggegarkan pentas ialah Anuar Zain, Ella, dan Dayang Nurfaizah dari Malaysia, manakala Kangen Band serta Lyodra dari Indonesia hadir sebagai tanda apresiasi terhadap seni serantau.
Menurut Herman Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif Yumeca Sdn Bhd, tema healing ini dipilih bagi memperlihatkan bahawa muzik bukan sesuatu yang negatif, sebaliknya mampu menjadi saluran pemulihan emosi dan mental.
“Selepas pandemik, ramai memilih untuk ‘healing’ dengan pelbagai cara dan muzik adalah salah satu terapi paling semula jadi.
“Healing Night 2026 bukan sekadar konsert, ia adalah pesta untuk menikmati muzik sebagai proses terapeutik yang menyenangkan” ujar Herman.
Konsep healing diterjemahkan ke seluruh aspek acara daripada persembahan, reka bentuk pentas hingga ke ruang interaktif seperti healing tents dan relaxation zones yang membolehkan penonton berehat sambil menikmati suasana harmoni.
Sokongan Padu MOTAC
Penganjuran Healing Night 2026 turut menerima sokongan penuh daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC). Ketua Setiausaha MOTAC, Dato’ Shaharudin, menyifatkan acara ini bertepatan dengan misi Tahun Melawat Malaysia 2026 dan mampu memperkenalkan keunikan seni tempatan kepada dunia.
“Healing Night 2026 membuktikan bahawa bakat muda tempatan berupaya menganjurkan acara bertaraf dunia serta memperkukuh hubungan budaya antara Malaysia dan Indonesia,” jelasnya.
Sementara itu, ratu rock negara Ella meluahkan keterujaan untuk turut serta dalam acara ini.
“Konsep Healing Night 2026 sangat relevan dengan situasi masa kini. Konsert bukan hanya hiburan, tapi juga ruang terapi untuk lepaskan tekanan dan memulihkan tenaga,” katanya penuh semangat.


Tiket Kini Dibuka
Bagi mereka yang ingin merasai pengalaman baharu ini, Healing Night 2026 bakal membuka tirai pada 24 Januari 2026 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Tiket boleh didapati melalui platform Ticket2u www.ticket2u.com.my dengan pelbagai kategori harga mengikut pilihan.
