Kuala Lumpur – Dalam usaha memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju teknologi sanitari moden di rantau ini, Rigel Technology (M) Sdn Bhd hari ini melancarkan bilik pameran gaya hidup utama pertamanya di Malaysia, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam komitmen syarikat terhadap inovasi dan kelestarian alam sekitar.
Bilik pameran berkonsepkan “Advance Living” itu memperlihatkan pendekatan baharu Rigel dalam menggabungkan rekaan moden, kemampanan dan keselesaan pintar, sekali gus menetapkan penanda aras baharu bagi industri penyelesaian sanitari di negara ini.
Dikenali sebagai Pusat Pengalaman Rigel, bilik pameran itu membolehkan pengunjung merasai secara langsung pelbagai inovasi bilik air pintar dan produk sanitari terkini keluaran syarikat berkenaan.
Ruang pameran berkenaan turut menampilkan beberapa suite bertema interaktif, yang mempamerkan bagaimana teknologi dan rekaan Rigel boleh digabungkan untuk meningkatkan fungsi, estetika serta keselesaan ruang kediaman dan komersial.

Menurut Rigel, pelancaran pusat itu mencerminkan usaha berterusan syarikat untuk memperkenalkan penyelesaian berasaskan inovasi hijau, seiring matlamat global ke arah gaya hidup lebih mampan.
Ditubuhkan pada tahun 1991 dan beribu pejabat di Singapura, Rigel Technology kini beroperasi di beberapa negara Asia termasuk Malaysia, Indonesia, Vietnam, China dan Hong Kong.
Syarikat itu dikenali melalui pelaksanaan pelbagai projek berprofil tinggi seperti The Exchange TRX, Pavilion Kuala Lumpur, Sunway Pyramid Mall, IOI City Mall dan Moxy Putrajaya Hotel.
Selain Malaysia, jenama Rigel turut terlibat dalam projek mercu tanda serantau seperti Lapangan Terbang Changi Jewel, Singapore Institute of Technology Campus dan IOI Central Boulevard Towers di Singapura.
Inovasi Baharu: Internet-of-Toilet (IoT)
Bersempena pelancaran bilik pameran tersebut, Rigel turut memperkenalkan sistem Internet-of-Toilet (IoT) – satu inovasi pengurusan tandas pintar yang direka untuk meningkatkan tahap kebersihan, kecekapan operasi dan penjimatan sumber bagi kemudahan awam serta komersial.
Sistem berasaskan penderia ini menggabungkan pelbagai peranti automatik termasuk injap siram deria, paip pintar, pemantau kualiti udara, penderia suhu dan kelembapan, serta sistem analisis data masa nyata.
Melalui platform digital bersepadu, pengurus fasiliti dapat memantau keadaan tandas, mengesan kerosakan dan menjadualkan penyelenggaraan dengan lebih cekap, sekali gus mengurangkan kos operasi.
Menurut syarikat itu, pendekatan berasaskan data ini sejajar dengan hala tuju transformasi digital dalam sektor pengurusan bangunan pintar di rantau Asia Tenggara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rigel Technology, Christopher Ng, berkata pelancaran bilik pameran gaya hidup utama itu melambangkan usaha berterusan syarikat untuk membawa inovasi yang memberi nilai tambah kepada masyarakat dan alam sekitar.
“Dengan pelancaran sistem Internet-of-Toilet dan rangkaian produk sanitari pintar kami, Rigel sedang mencipta piawaian baharu bagi rekaan dan fungsi ruang moden. Inilah masa depan kehidupan pintar yang kami ingin capai,” katanya ketika majlis pelancaran di ibu negara.
Rigel turut menegaskan komitmennya terhadap penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam menghasilkan produk yang lebih cekap tenaga dan mesra alam.
Melalui visi Advance Living, syarikat berhasrat untuk terus menggabungkan teknologi, rekaan dan kelestarian bagi mencipta ruang kehidupan yang bukan sahaja selesa, tetapi juga menyokong kesejahteraan manusia dan pemuliharaan alam sekitar.
“Kami percaya inovasi harus memacu keseimbangan antara kemajuan dan tanggungjawab. Setiap rekaan Rigel dicipta untuk menjadikan kehidupan lebih mudah, bersih dan lestari,” tambah Christopher.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato Mohd Fadzli Mohd dalam ucapannya berkata, KPKT melalui pelbagai inisiatif seperti Bandar Pintar Malaysia, amat menitikberatkan pembangunan persekitaran binaan yang mampan, berdaya huni dan berteknologi tinggi.
“Kejayaan dalam menjayakan aspirasi Bandar Pintar tidak dapat dicapai oleh kerajaan semata-mata. Ia memerlukan kerjasama erat antara sektor awam dan swasta, seperti yang dipamerkan oleh Rigel Technology hari ini.
“Saya berharap lebih banyak syarikat menyokong usaha ini dalam industri dengan memperkenalkan inovasi yang bukan sahaja berdaya saing dari segi teknologi, tetapi juga memberi manfaat kepada komuniti dan alam sekitar” katanya.
