ss

PUTRAJAYA – Kerajaan Persekutuan akan membentangkan penjelasan menyeluruh di Parlimen esok berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengenai pemberian 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah, seperti yang termaktub di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata penjelasan itu akan merangkumi keputusan kerajaan untuk tidak memfailkan rayuan terhadap sebahagian penghakiman, serta memperincikan bahagian tertentu yang akan dirayu.

“Saya ingin tegaskan bahawa keputusan ini dibuat secara muafakat oleh kerajaan. Kita tidak merayu terhadap kadar 40 peratus seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.

“Namun, terdapat aspek lain dalam penghakiman tersebut yang akan dirayu,” katanya.

Beliau menambah bahawa keseluruhan pendirian dan rasional kerajaan akan diperjelaskan secara terperinci di Parlimen bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

Anwar berkata keputusan itu dicapai selepas mesyuarat khas Jemaah Menteri yang berlangsung semalam, di mana setiap ahli Kabinet diberi ruang untuk menyuarakan pandangan, termasuk Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Pada mesyuarat tersebut, kerajaan memutuskan untuk tidak merayu terhadap keputusan berkaitan Pemberian Khas Negeri Sabah bagi tempoh 1974 hingga 2021, yang berasaskan kadar 40 peratus hasil.

Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan akan memulakan rundingan segera dengan Kerajaan Negeri Sabah.

AGC turut menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan menghormati prinsip Pemberian Khas seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam mesyuarat sama, Peguam Negara telah memberikan nasihat berhubung kelemahan dalam Alasan Penghakiman, termasuk dakwaan bahawa kedua-dua kerajaan, Persekutuan dan Negeri Sabah, telah menyalahgunakan kuasa dan melanggar kewajipan perlembagaan.

Badan kehakiman turut menyatakan bahawa dakwaan tersebut berpotensi melibatkan kedua-dua pihak sejak tahun 1974.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading