Sepang – Sempena ulang tahun ke-10 inisiatif amal global Mövenpick Hotels & Resorts, “Kilo of Kindness”, Mövenpick Hotel & Convention Centre KLIA meneruskan usaha menzahirkan kasih sayang sejagat melalui tindakan bermakna di peringkat tempatan dengan memperjuangkan penjagaan dan maruah komuniti warga emas.
Apabila Malaysia semakin hampir menjadi sebuah negara menua, bilangan warga emas yang memerlukan penjagaan di pusat jagaan semakin meningkat. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, peratusan penduduk berumur 65 tahun dan ke atas telah meningkat kepada 8.1% pada tahun 2024 dan dijangka mencecah 14.5% menjelang tahun 2040. Peningkatan ini menonjolkan keperluan mendesak untuk sokongan berperikemanusiaan terhadap warga emas, yang ramai antara mereka berdepan dengan pengabaian, masalah kesihatan atau pengasingan sosial.
Peningkatan penempatan warga emas di rumah jagaan didorong oleh beberapa faktor sosial dan ekonomi termasuk penghijrahan ke bandar, di mana ahli keluarga muda berpindah untuk mencari peluang pekerjaan dan meninggalkan ibu bapa yang sudah tua, peningkatan keperluan penjagaan kesihatan akibat penyakit kronik, serta perubahan dinamik keluarga yang menjadikan penjagaan jangka panjang di rumah semakin mencabar. Laporan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga menonjolkan peningkatan kes pengabaian warga emas dan tempoh tinggal di hospital yang berpanjangan akibat kekurangan sokongan keluarga, sekali gus menegaskan keperluan yang semakin mendesak terhadap penjagaan warga emas berasaskan komuniti.

Sebagai tindak balas terhadap isu yang semakin membimbangkan ini, Mövenpick Hotel & Convention Centre KLIA sekali lagi memilih untuk bekerjasama dengan Pusat Jagaan Mahmudah, sebuah rumah jagaan berdaftar tanpa keuntungan yang terletak di Kampung Sungai Purun, Semenyih, Selangor. Pusat ini telah beroperasi hampir sedekad dan kini menempatkan kira-kira 52 orang warga emas, kebanyakannya terdiri daripada mereka yang mempunyai pergerakan terhad atau tidak mempunyai sokongan keluarga.
Rumah jagaan ini menyediakan penginapan percuma, makanan harian, bantuan perubatan dan penjagaan emosi kepada para penghuninya. Mövenpick Hotel & Convention Centre KLIA pertama kali bekerjasama dengan pusat ini pada tahun 2023, dan kesinambungan kerjasama ini mencerminkan komitmen jangka panjang hotel untuk memperkasa komuniti di luar lingkungan operasinya.
“Ramai penghuni kami datang hanya dengan pakaian di badan.
“Cabaran terbesar kami ialah memastikan keperluan asas mereka seperti makanan, barangan kebersihan dan bekalan perubatan sentiasa mencukupi. Kami amat berterima kasih kepada Mövenpick Hotel & Convention Centre KLIA kerana terus bersama kami. Sokongan mereka bukan sahaja membantu mengekalkan operasi harian kami, tetapi juga mengingatkan para penghuni bahawa mereka tidak dilupakan” kata Hj. Azman Bin Rasman, pengasas Pusat Jagaan Mahmudah.
Di bawah kempen “Kilo of Kindness”, Mövenpick Hotel & Convention Centre KLIA menjemput para tetamu, rakan korporat serta orang awam untuk menyumbangkan barangan keperluan dari 13 Oktober hingga 14 November 2025. Tong sumbangan akan diletakkan di lobi hotel bagi memudahkan proses penghantaran.
Antara barangan yang paling diperlukan pada masa ini termasuk:
- Makanan tahan lama (beras, makanan dalam tin, biskut)
- Lampin dewasa
- Susu tepung untuk warga emas
Sumbangan yang dikumpulkan akan dihantar terus ke Pusat Jagaan Mahmudah, bagi menyokong kebajikan dan keselesaan harian para penghuninya.
“Di Mövenpick Hotel & Convention Centre KLIA, kami percaya hospitaliti bukan sekadar tentang perkhidmatan, tetapi tentang perikemanusiaan.
“Melalui kempen Kilo of Kindness, kami menyalurkan kemurahan hati para tetamu kepada tindakan bermakna yang membawa keselesaan, maruah dan kasih sayang kepada warga emas dalam komuniti kami” kata Rudi Fajar Putra, Pengurus Besar Mövenpick Hotel & Convention Centre KLIA.

Inisiatif ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran terhadap cabaran emosi dan sosial yang dihadapi oleh golongan warga emas di Malaysia. Ramai warga emas yang ditinggalkan tanpa akses kepada penjagaan atau teman hidup yang mencukupi. Dengan menghubungkan kakitangan hotel dan para tetamu secara langsung dengan para penghuni melalui lawatan dan kempen sumbangan, Mövenpick Hotel & Convention Centre KLIA berharap dapat memupuk empati, maruah dan kegembiraan.
“Ini menandakan kerjasama kami yang kedua dengan Pusat Jagaan Mahmudah.
“Setiap lawatan mengingatkan kami bahawa tindakan kecil mampu membawa keselesaan besar kepada mereka yang pernah menjaga kita dahulu” tambahnya lagi.
Orang ramai digalakkan untuk turut serta dalam kempen “Kilo of Kindness” tahun ini dengan membawa sumbangan ke lobi Mövenpick Hotel & Convention Centre KLIA dari 13 Oktober hingga 30 November 2025. Setiap sumbangan anda membantu menyebarkan kasih sayang kepada komuniti warga emas di Malaysia.
Untuk maklumat lanjut dan senarai hotel yang mengambil bahagian, sila layari: movenpick.accor.com/en/kilo-of-kindness.html
