1

KUALA LUMPUR – Dalam dunia hiburan, selebriti sering dilihat hanya sebagai penghibur. Namun, bagi pelawak dan pelakon, Saiful Apek, peranan artis jauh lebih luas. Beliau berpendapat bahawa selebriti juga boleh menjadi ‘frontliner’ masyarakat, memainkan peranan penting dalam aktiviti kebajikan dan menyokong golongan memerlukan.

“Kita ini bukan sekadar artis. Dengan pengaruh yang kita ada, kita boleh turun padang, bantu masyarakat, dan sampaikan mesej kemanusiaan,” kata Saiful.

Saiful Apek aktif bersama Komuniti Dakwah Tarbiah (KDT), sebuah pertubuhan kebajikan yang menumpukan usaha kepada keluarga asnaf, mualaf, dan masyarakat yang kurang bernasib baik. Beliau turun padang secara langsung, bukan sekadar memberi sumbangan, tetapi turut berinteraksi dan memberi motivasi kepada penerima.

Beliau menekankan bahawa penglibatan selebriti dalam kerja kebajikan perlu dilakukan secara ikhlas dan berterusan, bukan muncul hanya kerana publisiti atau peluang media. “Kalau nak tolong, tolonglah sepenuh hati. Jangan hanya muncul bila ada kamera atau semasa pilihan raya,” ujar Saiful.

Pengaruh yang dimiliki selebriti membolehkan mesej kebajikan sampai kepada lebih ramai orang. Sama ada menggalakkan sumbangan untuk golongan miskin, menyokong isu Palestin, atau aktiviti derma makanan dan pakaian, kehadiran selebriti sering menarik perhatian dan mendorong masyarakat untuk turut serta.

Saiful turut menyedari bahawa ramai rakan artis lebih suka melakukan kebaikan secara senyap, bagi mengelakkan kritikan atau komen negatif warganet. “Ada yang membantu tapi tak mahu orang tahu… itu yang terbaik,” tambahnya.

Sokongan Daripada KDT

Dari sudut pertubuhan, Muhammad Zul Fikri Suhaimi, Ketua Pegawai Operasi KDT, menegaskan bahawa sokongan selebriti memberi impak besar. Kehadiran artis membantu menyebarkan mesej kebajikan dengan lebih cepat dan meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap projek-projek yang dijalankan.

Dalam program kebajikan terbaru KDT, lebih 300 keluarga menerima bantuan asas serta baucar bernilai RM 100. Selain itu, pertubuhan ini juga menjalankan projek untuk komuniti Orang Asli dengan kerjasama institusi pengajian tinggi dan syarikat melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Perancangan program ini telah dibuat sejak dua bulan lalu. Masjid-masjid kariah membantu kami menyaring penerima yang benar-benar layak kerana mereka lebih mengenali komuniti setempat.

“Selain itu, bantuan yang disalurkan merangkumi barangan keperluan asas dan baucar bernilai RM100 yang boleh digunakan bagi pembelian barangan kering dan basah dalam tempoh tiga bulan di pasaraya Mydin,”katanya.

Bagi Saiful, tanggungjawab membantu masyarakat adalah satu amanah yang perlu diteruskan selagi mampu. Beliau menyeru rakan selebriti untuk melihat peranan mereka secara lebih luas dan menggunakan pengaruh untuk tujuan kebajikan.

“Selagi saya sihat dan mampu, saya akan terus turun padang. Membantu masyarakat bukan sahaja memberi kebaikan kepada mereka, tetapi juga memberi kepuasan diri dan menjadikan kita lebih bertanggungjawab,” ujarnya.

Dengan pandangan ini, Saiful Apek menegaskan bahawa selebriti mempunyai potensi besar untuk menjadi garak hadapan dalam perubahan sosial, di luar dunia hiburan.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading