PUTRAJAYA – Puncak tertinggi Putrajaya bakal menjadi tumpuan seluruh negara apabila Gema Raya Putrajaya 2026@PICC diangkat sebagai festival raya terbesar pertama yang pernah dianjurkan di lokasi ikonik Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Acara mega itu akan berlangsung selama hampir dua bulan bermula 15 Februari hingga malam ambang 1 Syawal 2026.
Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn. Bhd., Rayme Zainal, berkata pemilihan PICC bukan sekadar kerana lokasinya yang strategik, tetapi kerana bangunan tersebut melambangkan imej moden negara serta menawarkan fasiliti berteknologi tinggi bertaraf antarabangsa.
“Gema Raya Putrajaya 2026 bukan sekadar bazar Ramadan. Ia kita jadikan medan mengangkat warisan negara, budaya, komuniti dan pelancongan semuanya bertemu dalam satu festival berskala besar,” jelasnya.

Dengan lebih 300 usahawan merangkumi fesyen, tekstil, kraftangan, artisanal, seleksi gaya hidup dan vendor gastronomi, festival ini dijangka menyuntik limpahan ekonomi baharu kepada usahawan serta membuka hampir 1,000 peluang pekerjaan.
Festival ini turut menjadi antara program utama yang menyokong agenda Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY 2026) melalui gabungan elemen kerohanian, seni budaya, hiburan, gastronomi dan keusahawanan.
Tumpuan utama festival terarah kepada zon gastronomi, iaitu Grab & Go Café hasil kolaborasi bersama Anjung E.A.T.S.
E.A.T.S (Experience, Appreciate, Taste & Share) bakal menghimpunkan 20 usahawan makanan, menawarkan hidangan berbuka, moreh dan sahur berkonsepkan street food atas bukit.
Bayangkan berbuka puasa sambil menikmati pemandangan indah Putrajaya memang vibes Ramadan yang luar biasa.

Festival ini turut mengangkat elemen kerohanian melalui; Tazkirah Ramadann Solat tarawih berjemaah, Persembahan seni budaya & seni Islam, Bengkel kraf, Demonstrasi masakan, Sesi bertemu selebriti, Konsert mini Syawal Showcase dan pelbavai lagi.
Warisan seni tekstil negara turut diraikan melalui persembahan runway kebaya dan batik Edisi Ramadan-Raya, satu daya tarikan yang bakal mencuri perhatian pelancong.
Salah satu acara paling istimewa ialah Malam 7 Likur, di mana kawasan bukit di sekitar PICC akan diterangi pelita mencipta suasana tradisi Melayu yang menyatukan komuniti dan pengunjung dalam cahaya simbolik harapan serta perpaduan.
Festival ini juga menampilkan elemen prihatin melalui Infaq Ramadan dan The Pelita of Hope iaitu sebuah kempen kemanusiaan untuk bantuan rakyat Palestin.

Pengunjung tidak perlu risau soal kesesakan kerana PICC menyediakan 1,200 tapak parkir PERCUMA dengan resit pembelian.
PICC juga menyediakan surau yang luas dan selesa mampu memuatkan 300 jemaah — memudahkan ibadah sepanjang festival.
