Evita with friends launching her new boutique

Kuala Lumpur – Industri fesyen menyaksikan satu lagi detik bersejarah dalam penataan gaya apabila pereka kelahiran Indonesia, Evita Mairesse, membuka butik persendirian pertamanya di Heritage House. Pembukaan butik eksklusif berkonsepkan janji temu ini bukan sahaja menandakan pencapaian baharu selepas lima tahun membina jenama di Asia, tetapi juga mengukuhkan kedudukan Evita sebagai antara nama yang paling dihormati dalam rekaan couture dan busana ratu cantik.

Sepanjang kerjayanya, Evita telah menjadi pilihan ramai selebriti dan personaliti ternama termasuk Whulandary, Aishah Sinclair, Ruhainies, serta barisan wakil Malaysia ke pentas Miss Universe, Miss World, Miss Grand dan Miss Charm. Sentuhan rekaannya yang anggun dan dramatik menjadikan Evita sinonim dengan gelaran “Dressmaker to the Beauty Queens”, penghargaan terhadap kepakarannya menghasilkan busana pentas yang memadukan keanggunan, keyakinan serta sentuhan budaya.

Majlis Pelancaran Bertemakan Monokrom yang Penuh Gaya

Pelancaran butik baharu ini disambut meriah dengan kehadiran ratu cantik, selebriti dan pempengaruh, ramai antara mereka tampil mempesonakan dalam rekaan eksklusif Evita. Antara yang memeriahkan acara ialah Eshwin Kaur, Miss Supranational Malaysia 2025, pelakon Natasya Mahyan, model Sharwita, penyanyi Syada Amzah, personaliti media Sunshine Kelly, serta pengacara televisyen Fiera Afendi.

Ruang butik dihias indah dengan palet hitam dan putih identiti visual Evita yang sudah menjadi tanda pengenalan jenamanya. Instalasi bunga yang menghiasi setiap sudut pula melambangkan motif floral berstruktur yang sering menjadi inspirasi dalam busana couture rekaannya. Para tetamu turut berpeluang melihat dari dekat ketelitian setiap helaian, termasuk beberapa busana pertandingan antarabangsa yang pernah mencuri perhatian juri dan penonton global.

Berkongsi rasa syukur dan keterujaan, Evita menyifatkan pembukaan butik ini sebagai satu detik penting dalam perjalanan kreatifnya.

“Saya mahu butik ini menjadi ruang di mana wanita merasa dihargai, mendapat ilham, dan melihat setiap rekaan sebagai sebahagian daripada kenangan berharga mereka. Ini juga langkah untuk mendekatkan diri dengan pelanggan serta mengembangkan jenama saya dengan cara yang lebih organik dan telus,” jelas Evita.

Selain menjadi rumah bagi rekaan couture Evita, butik di Heritage House ini bakal berfungsi sebagai ruang kreatif yang menawarkan prebiu eksklusif, sesi penggayaan peribadi dan pertunjukan mini. Di sini, pelanggan diberikan peluang untuk menyelami proses kreatif Evita bagaimana setiap garisan, fabrik dan struktur digarap sehingga menjadi karya seni yang memukau.

Butik ini menawarkan suasana eksklusif untuk konsultasi tempahan couture, gaun perkahwinan dan gaun karpet merah. Evita Mairesse juga mempunyai satu lagi outlet di Fahrenheit Bukit Bintang yang menampilkan koleksi ready-to-wear termasuk busana tradisional

Dengan pelancaran butik ini, Evita Mairesse bukan sahaja mengukuhkan langkahnya dalam dunia fesyen Malaysia, tetapi terus memperluas pengaruhnya sebagai pereka yang meraikan keanggunan wanita melalui seni couture yang penuh jiwa.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading