PUTRAJAYA – YEG Academy, menerusi Fakulti Pengurusan Haji dan Umrah (FPHU), terus memperkukuh peranannya dalam pembangunan pendidikan Islam profesional apabila memperkenalkan tiga inisiatif akademik baharu merangkumi program Sarjana, Ijazah Fast Track dan Microcredential dalam bidang pengurusan Haji dan Umrah.
Inisiatif ini diperkenalkan bersempena Kempen Pengurusan Haji dan Umrah 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), sekali gus mencerminkan komitmen YEG Academy dalam melahirkan tenaga mahir yang memenuhi keperluan industri ibadah global.
Presiden IUC, Shahawati Umar berkata pelancaran program pasca siswazah ini melengkapkan keseluruhan rangka akademik fakulti yang kini merangkumi peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan PhD. Beliau menegaskan peningkatan akses kepada pendidikan pada semua tahap adalah penting untuk memenuhi permintaan industri yang berbeza-beza.
“Sehingga kini tiada bilangan signifikan graduan Master dalam Pengurusan Haji dan Umrah yang layak untuk menjadi tenaga pengajar satu jurang yang diperbetulkan melalui penawaran program Master dan PhD baharu ini.
“Jadi dengan adanya pengkhususan ini membantu masyarakat diluar sana mendapat kursus pengajian yang lengkap sekali gus melahirkan daya pengajar profesional pada masa hadapan” katanya.

Antara pengenalan utama ialah Program Sarjana Pengurusan Haji dan Umrah, yang dibangunkan berteraskan penyelidikan dan telah memperoleh pengiktirafan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Program ini bertujuan melahirkan golongan pakar, akademik serta pembuat dasar yang berwibawa, sekali gus menangani kekurangan tenaga pengajar berkelayakan dalam bidang pengurusan Haji dan Umrah di Malaysia.
FPHU turut menawarkan Program Ijazah Sarjana Muda Fast Track yang membolehkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menamatkan pengajian diploma dan ijazah dalam tempoh hanya tiga setengah tahun. Struktur pengajian ini menggabungkan dua tahun pengajian diploma dan satu setengah tahun pengajian ijazah.
Dekan, Fakulti Pengurusan Haji & Umrah, Mohamad Fikri Hasbi menambah, pelajar akan menjalani latihan industri selama 30 hari di Mekah dan Madinah, memberikan pendedahan langsung terhadap operasi sebenar pengurusan jemaah, logistik, kebajikan serta pengurusan lapangan di Tanah Suci.
“Ini merupakan satu nilai tambah kepada para pelajar untuk berada di lapangan sebenar bagi melatih dan memudahkan diri apabila menceburi industri nanti” jelasnya.
Tambahnya lagi, bagi memenuhi keperluan golongan profesional dan masyarakat umum, YEG Academy turut memperkenalkan Program Microcredential Sijil Profesional Haji dan Umrah (SPHU). Program ini dijalankan secara dalam talian selama tiga bulan melalui platform pembelajaran khas dan merangkumi 17 modul komprehensif melibatkan aspek fiqh, pengurusan dan operasi Haji serta Umrah.

Peserta SPHU juga berpeluang menikmati pengecualian kredit sehingga satu semester sekiranya meneruskan pengajian ke peringkat ijazah, menjadikan program ini sebagai laluan alternatif yang fleksibel dan praktikal.
Majlis sama turut menyaksikan pelancaran buku akademik Al-Khibrah yang menghimpunkan kandungan pembelajaran, kepakaran tenaga pengajar serta pencapaian alumni. FPHU yang ditubuhkan sejak 2019 hasil kerjasama strategik YEG Academy dan Kolej Universiti Inovatif (IUC) kini dilihat sebagai antara peneraju pendidikan profesional dalam bidang pengurusan Haji dan Umrah.
Sehingga kini, lebih 1,200 graduan Diploma Pengurusan Haji dan Umrah telah dilahirkan, dengan sebahagian besar mereka kini berkhidmat dalam syarikat pengendali Haji dan Umrah di dalam serta luar negara. Perkembangan ini mencerminkan peningkatan permintaan terhadap tenaga kerja terlatih dan berkelayakan dalam industri ibadah yang semakin berkembang di peringkat global.

Sementara itu, dalam Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Innovatif kali ke 11 ini menyaksikan penyampaian watikah tawaran Master dalam Pengurusan Haji dan Umrah kepada Selebriti radio Zayan, Faizal Ismail.
