fftolci-scaled

PUTRAJAYA – Kerajaan Malaysia mengesahkan bahawa kadar tol di 10 konsesi lebuh raya utama tidak akan mengalami sebarang kenaikan bagi tahun 2026, keputusan yang diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri terbaru semalam.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata keputusan itu dibuat demi meringankan beban rakyat, terutama pengguna lebuh raya, memandangkan tekanan kos sara hidup yang berterusan. Beliau menjelaskan bahawa kerajaan akan menanggung implikasi kewangan bagi mengekalkan kadar tol sedia ada, dengan perincian penuh mengenai lebuh raya yang terlibat dijangka diumumkan oleh Kementerian Kerja Raya.

Fahmi berkata pada sidang media selepas Mesyuarat Pasca Kabinet di sini bahawa meskipun beberapa konsesi lebuh raya mempunyai hak untuk menaikkan kadar tol berdasarkan perjanjian konsesi yang sedia ada, kerajaan telah bersetuju untuk menangguhkan sebarang kenaikan kadar tol untuk tahun hadapan (2026).

Beliau juga menyatakan bahawa keputusan tersebut bukan sahaja keputusan baru kerajaan sebelum ini telah menangguhkan kenaikan tol sepanjang tahun 2025 bagi mengurangkan tekanan kos kepada rakyat.

Menurut laporan sebelum ini, kerajaan terpaksa menanggung kos melebihi RM500 juta setahun bagi mengekalkan kadar tol pada kadar semasa satu beban kewangan yang signifikan tetapi dianggap perlu untuk membantu rakyat.

Keputusan menangguhkan dan mengekalkan kadar tol ini membawa impak positif kepada pengguna lebuh raya, terutamanya mereka yang menggunakan lebuh raya setiap hari untuk bekerja dan bergerak antara bandar.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, sebelum ini menjelaskan bahawa kadar tol yang sepatutnya dikenakan bagi kenderaan kelas satu adalah antara kenaikan 50 sen hingga RM4.56, bersamaan peningkatan 79% – 83% jika kenaikan itu dilaksanakan.

Kerana kadar tol kekal pada paras sekarang, pengguna lebuh raya seperti Maju Expressway (MEX) menjimatkan beratus ringgit setiap tahun contohnya penjimatan kira-kira RM136 sebulan atau RM1,632 setahun bagi pengguna kelas satu yang melalui Plaza Tol secara kerap.

Dianggarkan sekitar 941,000 pengguna lebuh raya menerima manfaat daripada penangguhan ini, terutama golongan yang mengguna lebuh raya secara harian.

10 lebuh raya yang terlibat dalam keputusan mengekalkan kadar tol ini termasuk beberapa konsesi utama di seluruh negara. Senarai penuh lebuh raya tersebut akan diumumkan secara rasmi oleh Kementerian Kerja Raya dalam masa terdekat.

Keputusan ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk terus mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, walaupun ia melibatkan kos besar kepada perbendaharaan negara. Ia juga mencerminkan pendekatan pragmatik kerajaan dalam menangani isu tol lebuh raya dan tekanan ekonomi semasa.

Leave a Reply