Kuala Lumpur – Perbadanan Kota Buku (PKB) terus memperkukuh ekosistem perbukuan negara apabila berjaya menghimpunkan kira-kira 1,000 pemain industri dari seluruh negara menerusi penganjuran Malam Kota Buku 2025, sebuah majlis penghargaan nasional yang mengangkat peranan buku sebagai pemacu pembinaan masyarakat berilmu selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Penganjuran majlis berkenaan bukan sahaja berfungsi sebagai malam penghargaan industri, malah menjadi platform strategik bagi merangka hala tuju perbukuan negara secara inklusif, melibatkan pemain industri, institusi pendidikan, komuniti bacaan serta rakan strategik kerajaan dan swasta.
Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, dalam ucapan perasmiannya menyifatkan Malam Kota Buku 2025 sebagai langkah praktikal dalam usaha membina Malaysia sebagai sebuah bangsa pembaca, di samping memperkukuh kedudukan industri perbukuan sebagai komponen penting dalam ekosistem pendidikan dan ekonomi kreatif negara.

Menurut beliau, PKB memainkan peranan signifikan sebagai rakan strategik Kementerian Pendidikan dalam merancang dan melaksanakan inisiatif bacaan secara menyeluruh, bukan sahaja melalui penganjuran program fizikal, malah dengan pembangunan prasarana digital yang memastikan akses kepada ilmu tidak terhad oleh faktor geografi.
Sebagai kemuncak majlis, pelbagai pengiktirafan telah disampaikan merangkumi keseluruhan rantaian ekosistem perbukuan. Antaranya ialah Anugerah Kota Buku kepada pemain industri cemerlang, Mini Kota Buku yang memperluas akses bahan bacaan di sekolah termasuk di Sabah dan Sarawak, serta Anugerah VIP Buyers 2025 yang mengiktiraf penggunaan efektif Geran Per Kapita sekolah melalui platform digital Book Capital.
Bagi kategori Anugerah VIP Buyers 2025, Sekolah Kebangsaan Inarad, Sabah diumumkan sebagai johan selepas menunjukkan penglibatan aktif serta penggunaan strategik Geran Per Kapita bagi pembelian bahan bacaan, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan digital PKB dalam memperkasa sekolah luar bandar.

Malam Kota Buku 2025 turut menjadi pentas pengiktirafan terhadap pencapaian PKB sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan dalam membangunkan prasarana perbukuan digital bertaraf tinggi. Platform Book Capital yang dibangunkan PKB telah menerima pengiktirafan ASEAN Records sebagai First Unified Digital Book City Platform selepas mencatat pertumbuhan terpantas dengan satu juta pengguna dalam tempoh 10 bulan.
Pengiktirafan berprestij itu mengesahkan keupayaan PKB membangunkan infrastruktur bacaan digital bertaraf serantau, selaras dengan keperluan pendidikan masa hadapan. Anugerah tersebut telah disampaikan oleh wakil ASEAN Records kepada YB Fadhlina Sidek bagi pihak PKB.
Secara keseluruhan, penganjuran Malam Kota Buku 2025 mencerminkan komitmen berterusan PKB untuk memperkukuh industri perbukuan negara melalui pendekatan inklusif, berteraskan dasar dan didorong oleh pendigitalan, demi memastikan akses ilmu yang saksama, meluas dan lestari kepada seluruh lapisan masyarakat.
