Kuala Lumpur – Indonesia pernah digemparkan dengan kes tragis melibatkan seorang remaja, David Ozora, yang menjadi mangsa penganiayaan kejam sehingga koma dalam tempoh yang panjang pada tahun 2023. Insiden tersebut bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga mangsa, malah membangkitkan kemarahan rakyat serta mencetuskan perdebatan besar mengenai keadilan, penyalahgunaan kuasa dan budaya berdiam diri terhadap keganasan.
Berpaksikan kisah benar yang menggegarkan negara itu, sebuah filem berjudul Ozora: Penganiayaan Brutal Penguasa Jaksel diterbitkan bagi mengangkat tragedi ini ke layar perak. Namun, karya ini tidak sekadar memaparkan kronologi kejadian, sebaliknya menyelami dimensi yang lebih luas melibatkan ketidakseimbangan sistem perundangan, suara rakyat serta perjalanan psikologi dan spiritual keluarga mangsa.

Filem ini diarahkan oleh gandingan adik-beradik Anggy Umbara dan Bounty Umbara di bawah terbitan Umbara Brothers Film, dengan kerjasama VMS Studio, 786 Entertainment, Rumpi Entertainment, Makara Production, A&Z Films serta Dbay Film Factory. Projek ini turut menandakan kerjasama semula Anggy dan Bounty sebagai pengarah selepas sekian lama tidak mengarah filem bersama.
Menurut Anggy Umbara, idea asal filem ini tercetus daripada Bounty, dan sejak peringkat awal perancangan, mereka sepakat membawa naratif yang lebih mendalam dan berani.

“Kisah David benar-benar menggoncang Indonesia. Namun apa yang jarang diketengahkan ialah perjalanan psikologi dan spiritual seorang bapa yang terpaksa menyaksikan anaknya dibelasah oleh anak seorang pegawai negara, sehingga peluang hidupnya hanya tinggal dua peratus,” ujar Anggy yang juga bertindak sebagai penerbit.
Filem ini memfokuskan perjuangan seorang bapa, Jonathan Latumahina, dalam menuntut keadilan selepas anaknya, David Ozora, koma akibat penganiayaan brutal seorang lelaki yang mempunyai latar belakang keluarga berpengaruh. Jonathan berdepan sistem perundangan yang dilihat berat sebelah, sementara pelaku menerima layanan istimewa kerana kedudukan dan kuasa bapanya.
Dibintangi barisan pelakon ternama seperti Chicco Jerikho, Muzakki Ramdhan, Erdin Werdrayana, Tika Bravani, Donny Damara, Annisa Kaila dan Mathias Muchus, filem ini dijadualkan menemui penonton di pawagam Malaysia bermula 22 Januari 2026.
Anggy menjelaskan bahawa Ozora bukan sekadar filem tentang jenayah, sebaliknya sebuah interpretasi mendalam mengenai kesan psikologi dan emosi perundungan serta keganasan terhadap mangsa dan insan di sekelilingnya.

“Naratif filem ini menelusuri kekuatan dalaman seorang bapa yang diuji ketika anaknya koma selama puluhan hari, selain memperlihatkan bagaimana sokongan masyarakat awam menjadi sebahagian daripada proses pemulihan dan perjuangan menuntut keadilan,” katanya.
Sementara itu, Chicco Jerikho yang memegang watak Jonathan mengakui peranan tersebut antara yang paling mencabar sepanjang kerjayanya. Walaupun tidak sarat dengan aksi fizikal, watak berkenaan menuntut penghayatan emosi yang mendalam.
“Watak ini sangat berat dari segi emosi dan tenaga. Kedekatan saya dengan kes sebenar membuatkan saya perlu mengawal perasaan agar kekal setia kepada realiti watak dan peristiwa yang berlaku,” jelas Chicco.
Sebagai sebuah karya sinematik yang berakar daripada kisah benar, Ozora: Penganiayaan Brutal Penguasa Jaksel bukan sahaja menjadi peringatan terhadap bahaya perundungan dan keganasan, malah menonjolkan kekuatan solidariti masyarakat dalam menentang ketidakadilan. Filem ini turut mengajak orang ramai menggunakan ruang awam dan platform digital sebagai medium untuk bersuara apabila berdepan penyalahgunaan kuasa.
SINOPSIS
Jonathan Latumahina (Chicco Jerikho) berdepan ujian paling getir dalam hidupnya apabila anak tunggalnya, David Ozora (Muzakki Ramdhan), menjadi mangsa penganiayaan kejam oleh Dennis (Erdin Werdrayana), anak kepada seorang Pegawai Tinggi Negara yang berpengaruh. Serangan brutal itu menyebabkan David koma dan berada di ambang antara hidup dan mati.
Keadaan kritikal David dengan pantas menjadi tular, sekali gus menyatukan seluruh masyarakat Indonesia tanpa mengira agama dan latar kepercayaan. Doa bersama diadakan di pelbagai tempat sebagai simbol solidariti dan harapan agar keajaiban berlaku demi kesembuhan remaja tersebut.

Dalam keputusasaan, Jonathan tidak berjuang sendirian. Dibantu dua sahabat karibnya, Melissa (Tika Bravani) dan Rustam (Rizky Hanggono), beliau nekad menuntut keadilan meskipun berdepan sistem perundangan yang dilihat berat sebelah dan tercemar. Sementara itu, Dennis terus menerima perlindungan serta kelonggaran undang-undang hasil pengaruh bapanya yang mengaku sebagai penguasa Jakarta Selatan.
Di tengah pertarungan antara kebenaran dan kuasa, Ozora: Penganiayaan Brutal Penguasa Jaksel merakam perjuangan seorang bapa, kekuatan doa masyarakat, serta keberanian untuk bersuara demi menentang ketidakadilan.
